SHAH ALAM, 12 JULAI: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan membabitkan insiden buli yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah di Rawang.
JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan tiada siapa akan dilindungi dan individu yang terlibat berdepan tindakan tegas selaras dengan peraturan sedia ada.
“JPN Selangor mengambil perhatian serius mengenai penularan video berkaitan insiden melibatkan salah laku murid di sebuah sekolah di Rawang baru-baru ini.
“Insiden ini sedang dalam perhatian pihak polis. JPN Selangor tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.




