SHAH ALAM, 11 JULAI: Sekurang-kurangnya empat penunggang motosikal maut manakala 20 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lebih 30 motosikal di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata semua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Kemalangan membabitkan lebih 30 motosikal," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kumpulan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersama sebuah kereta dilaporkan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menuju Kemaman.
Tiga mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai Che Mohd Sufian Che Ghani, 40 serta Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.
Kemalangan itu turut mengakibatkan seorang penumpang kereta berusia 13 tahun cedera, manakala pemandu kenderaan berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.







