KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 14 akaun bank membabitkan lima akaun syarikat dan sembilan akaun peribadi milik beberapa individu yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.1 juta susulan siasatan terhadap sindiket yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan urusan warga asing.
Menurut sumber, akaun berkenaan dibekukan susulan siasatan terhadap 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk membabitkan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
Sumber itu berkata operasi bersepadu yang dijalankan pada Rabu lepas oleh Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.4 juta.
Antara aset yang disita ialah wang tunai, mata wang asing, kereta mewah, motosikal, emas, pelbagai jenis barangan kemas, jam tangan, beg tangan mewah serta telefon bimbit.
"Sehingga hari ini, sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka dan melalui operasi bersepadu yang dijalankan di empat negeri pada Rabu lepas, SPRM telah melakukan sitaan serta membekukan akaun syarikat dan individu yang terlibat.
"Semalam, SPRM turut menahan seorang lagi pegawai penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, beliau telah dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya.
Rabu lepas, menerusi Ops Layer (SPRM Putrajaya), Ops Dalang (SPRM Selangor), Ops Raider (SPRM Negeri Sembilan) dan Ops Genuine (SPRM Melaka), SPRM menahan 38 individu, dengan 33 daripada mereka direman bagi membantu siasatan. Mereka terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA






