PERKESO buka pilihan opt-out LINDUNG 24 Jam Isnin ini

10 Jul 2026, 7:21 AM
PERKESO buka pilihan opt-out LINDUNG 24 Jam Isnin ini

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membuka pilihan pengecualian (opt-out) bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) secara dalam talian mulai Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Dato' Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pencarum yang tidak mahu menyertai skim itu boleh membuat permohonan pengecualian menerusi platform yang akan disediakan.

Beliau berkata langkah itu susulan keputusan Jemaah Menteri pada Rabu lalu yang mengubah dasar LINDUNG 24 Jam supaya ia hanya diwajibkan kepada pekerja asing, manakala pekerja tempatan diberi pilihan untuk menyertai atau menarik diri daripada skim berkenaan.

“Pncarum yang tidak berhasrat untuk meneruskan LINDUNG 24 Jam boleh memilih 'opt-out' dengan melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti yang akan dijadikan asas perundangan sekiranya terdapat sebarang pertikaian pada masa depan, terutama dalam kes membabitkan kemalangan di luar waktu kerja.

"Memandangkan LINDUNG 24 Jam ini dikuatkuasakan menurut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), justeru pencarum yang ingin opt-out daripada LINDUNG 24 Jam perlu menandatangani perakuan pelepasan liabiliti untuk dikecualikan daripada pemakaian akta ini.

"Ini untuk memastikan tiada sebarang implikasi perundangan di bawah Akta 4 jika berlaku kemalangan atau kecederaan kepada pencarum di luar waktu kerja," katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, walaupun wujud perubahan dasar, beliau amat menggalakkan pekerja tempatan di Malaysia untuk terus mencarum skim LINDUNG 24 Jam yang mampu memberikan jaminan kesinambungan kehidupan melalui gantian pendapatan sekiranya ditimpa musibah di luar waktu kerja.

“Caruman berkadar kecil berbanding premium perlindungan sedia ada dalam pasaran ini tidak sewajarnya dilihat sebagai bebanan, tetapi jaminan kehidupan keluarga kerana musibah hadir tanpa diduga.

"Mengikut statistik, purata sekitar 27 kes setiap hari direkodkan PERKESO untuk penyaluran faedah LINDUNG 24 Jam berjumlah hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim ini berkuat kuasa.

"Kadar ini lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak oleh PERKESO pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, sekali gus mencerminkan keberkesanan LINDUNG 24 Jam bagi menampung kelangsungan hidup pencarum dan waris,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, faedah yang disediakan melalui caruman berkadar rendah ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia adalah sandaran utama di saat bencana merencatkan kehidupan.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perubahan dasar LINDUNG 24 Jam bakal mempengaruhi kemampanan dana dan keberkesanan penyaluran faedah dalam jangka panjang.

“Kajian semula mekanisme pelaksanaan LINDUNG 24 Jam bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan dilakukan menjelang penghujung tahun ini.

“PERKESO akan terus mempergiat usaha penyampaian maklumat yang jelas dan tepat bagi memastikan setiap pekerja memahami manfaat LINDUNG 24 jam supaya mereka memilih keputusan terbaik demi masa depan mereka serta keluarga.

"Sebagai agensi di bawah KESUMA, PERKESO kekal berpegang teguh pada misi utama untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara tanpa mengetepikan suara dan kebajikan pencarum," katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan caruman LINDUNG 24 Jam di bawah PERKESO tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas meneliti pelbagai pandangan yang dikemukakan orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

Menurutnya, pendekatan baharu itu memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk menentukan sendiri sama ada mahu menyertai skim tersebut mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.