Polis tumpas sindiket produk sejuk beku, rampasan lebih RM24 juta

9 Jul 2026, 3:38 PM
Polis tumpas sindiket produk sejuk beku, rampasan lebih RM24 juta

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Polis menahan 21 individu serta merampas dan menyita pelbagai produk sejuk beku serta aset bernilai lebih RM24.15 juta menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Ops Chiller Briged di 11 daerah di Sabah, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi yang dijalankan antara 8 pagi hingga 6 petang itu dilaksanakan oleh Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan 14 serbuan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

“Hasil operasi itu membawa kepada penahanan 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun, terdiri daripada 19 warga tempatan dan dua lelaki warga asing. Kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, polis turut merampas pelbagai produk sejuk beku antaranya nuget, sosej, daging import,daging kambing bahagian bahu, daging ayam, ikan, daging shabu-shabu serta organ dalaman lembu bernilai RM10.35 juta.

Selain itu, katanya pihaknya turut menyita aset bernilai RM13.80 juta.

“Aset yang disita termasuklah 11 unit pendingin pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk pelbagai saiz, pelbagai kenderaan serta peralatan dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan aset dianggarkan RM24,152,652,” katanya.

Beliau berkata beberapa kesalahan dikenal pasti dalam operasi itu termasuk mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Undang-Undang Kecil Majlis Daerah Lahad Datu dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Operasi bersepadu itu membabitkan 147 pegawai dan anggota PGA bersama agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.