SHAH ALAM, 7 JULAI: Murid lelaki Tahun Lima cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Padang Terap ketika cuba mengambil sarang burung, petang tadi.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru sekolah kira-kira jam 4 petang yang memaklumkan kejadian itu.
Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan.
"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Mohd Anuar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kemalangan sendiri.
Menurutnya, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan berkaitan insiden berkenaan.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan kes.





