Lelaki maut dirempuh ketika tukar tayar di Lebuhraya Cheras-Kajang

7 Jul 2026, 5:20 AM
Lelaki maut dirempuh ketika tukar tayar di Lebuhraya Cheras-Kajang

SHAH ALAM, 7 JULAI: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika mengalihkan tanda amaran di Kilometer (KM) 13.0 Lebuhraya Cheras-Kajang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata mangsa, warga tempatan berusia 46 tahun, dilanggar kira-kira jam 10 malam ketika berada di belakang Toyota Innova berwarna perak miliknya yang berhenti di lorong kiri lebuh raya akibat tayar pancit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa baru selesai menukar tayar sebelum mengalihkan sebuah baldi yang diletakkan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya.

"Ketika mangsa mengalihkan baldi tersebut, sebuah Toyota Innova berwarna merah datang lalu melanggarnya sebelum meninggalkan tempat kejadian tanpa berhenti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis kini sedang mengesan pemandu Toyota Innova berwarna merah yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496.

Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika berada di laluan kecemasan atau ketika berdepan kecemasan di jalan raya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.