SHAH ALAM, 4 JULAI: Seorang lelaki yang disyaki melakukan jenayah liwat dan cabul terhadap dua pelajar lelaki sebuah kolej di Glenmarie, ditahan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek ditangkap dan siasatan berhubung kes terbabit sedang dijalankan.
"Suspek ditahan di salah sebuah restoran di Shah Alam pada jam 12.01 tengah malam tadi," katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.
Terdahulu, polis giat mengesan suspek selepas menerima laporan daripada dua remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga pelajar di sebuah kolej di Glenmarie.
Siasatan awal mendapati mangsa pertama mendakwa dicabul ketika berada di tandas asrama kolej berkenaan, manakala mangsa kedua mendakwa diliwat di rumah suspek di Seksyen 18, Shah Alam.
Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak.







