SHAH ALAM, 3 JULAI: Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) maut selepas kereta dipandunya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai hilang kawalan di Kilometer 18 Jalan Temerloh-Bahau, Bera hari ini.
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Mohamed Sharif Mohamed Ali, 37, yang memandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 29 tahun yang memandu MPV jenis Toyota Alphard itu selepas ujian saringan air kencingnya mendapati positif dadah.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard dipandu suspek dari arah Kuala Lumpur menghala ke Triang dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.
"Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza dipandu mangsa hingga menyebabkannya terbabas ke bahu jalan.
"Mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu Toyota Alphard cedera kaki. Turut cedera penumpang belakang kenderaan itu (lelaki berusia 25 tahun)," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk dibedah siasat, manakala suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.







