SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan mengenal pasti Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak sebagai hab pengangkutan strategik yang berpotensi dibangunkan berasaskan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kedudukan stesen itu di sempadan Selangor dan Kuala Lumpur, selain menjadi pintu masuk ke Pahang, menjadikannya lokasi sesuai sebagai bandar penghubung utama antara Pantai Timur dan Lembah Klang.
Menurutnya, pembangunan itu sejajar usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam bersepadu di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
"Bagi memaksimumkan potensi tersebut, kerajaan mempertimbangkan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung atau link bridge yang menghubungkan Terminal Bersepadu Gombak, Stesen LRT Gombak dan Stesen ECRL Gombak.
"Inisiatif ini akan meningkatkan kesalinghubungan antara perkhidmatan rel, bas dan teksi sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selesa dan efisien kepada pengguna," katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Seri Amirudin Shari berhubung perancangan kerajaan memanfaatkan Stesen ECRL Gombak sebagai lokasi pembangunan berorientasikan transit serta analisis menjadikan Gombak bandar penghubung antara tiga negeri.
Menurut Anthony, Kerajaan MADANI turut mengalu-alukan penglibatan Kerajaan Negeri dan sektor swasta dalam merancang pembangunan baharu yang berintegrasi dengan hab pengangkutan sedia ada bagi menyokong pelaksanaan TOD.
Katanya, perancangan itu perlu mengambil kira aspek integrasi dengan sistem pengangkutan awam, potensi pembangunan komersial dan kediaman, unjuran permintaan penumpang, kesalinghubungan jalan raya serta impak sosioekonomi kepada komuniti setempat.
Selain itu, Gombak dikenal pasti mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi kerana menjadi pintu masuk utama antara Lembah Klang dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Keadaan itu membolehkan kawasan berkenaan berfungsi sebagai hab pertukaran pengangkutan yang menghubungkan perkhidmatan ECRL, rangkaian LRT, terminal bas antara bandar serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Menurut beliau, pembangunan itu berpotensi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian serta memperkukuh peranan Gombak sebagai bandar penghubung bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.
Pendekatan tersebut juga selaras dengan dapatan Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur ECRL (PeGTa-ECRL) Negeri Selangor yang dilaksanakan PLANMalaysia bagi mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan sekitar stesen serta meningkatkan daya saing ekonomi setempat melalui pembangunan yang lebih tersusun dan mampan.







