KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hampir semua negeri menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan melebihi hasil cukai yang disumbangkan menjadi antara tumpuan pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat.
Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Selasa lepas, Perdana Menteri berkata agihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus menolak dakwaan kononnya terdapat negeri yang dianaktirikan atau dipinggirkan.
Beliau turut menjelaskan sebarang permohonan tambahan dana oleh kerajaan negeri bagi projek pembangunan melibatkan Notis Perubahan (NOC) perlu dirunding semula sebelum keputusan mengenai peruntukan atau pinjaman tambahan dibuat.
Selain itu, Anwar menegaskan pengumuman projek atau dasar baharu sepanjang tempoh kempen pilihan raya tidak dibenarkan selaras dengan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, pindaan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 serta RUU Jenayah Siber 2026 yang antara lain memperuntukkan kesalahan dan hukuman berkaitan pemalsuan digital (deepfake) serta penyebaran imej intim digital yang dimanipulasi melalui sistem komputer.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan sedang merangka RUU kontrak baharu bagi mengiktiraf hak pihak ketiga serta memodenkan kerangka agensi komersial, termasuk mengambil kira penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata Laporan Akhir Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia yang mengandungi syor dasar, analisis perbandingan dan draf perundangan telah siap serta dibentangkan kepada Ahli Parlimen untuk rujukan.
Dalam perkembangan lain, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan keterjaminan bekalan barangan keperluan, mengawal harga barangan asas serta meningkatkan kecekapan saluran pengedaran bagi mengurangkan impak kenaikan harga kepada rakyat.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan melaksanakan pemantauan harian ke atas bekalan dan harga barangan keperluan, selain menyelaras tindakan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) serta pemain industri bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan Program Baucar Buku MADANI 2026 dijangka memberi manfaat kepada lebih 2.2 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan dengan peruntukan RM221.6 juta.
Beliau berkata program itu melibatkan e-baucar bernilai RM100 seorang yang boleh ditebus bermula Rabu lepas hingga 31 Okt ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang melengkapkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, termasuk memuktamadkan satu lagi instrumen peraturan berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi bagi memperjelas kewajipan platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meneliti penggunaan teknologi agentic AI bagi meningkatkan kecekapan pengurusan aduan serta mengurangkan beban kerja pegawai.
Pada masa sama, platform media sosial digalak memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan dan menurunkan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti dengan lebih pantas.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai.
-- BERNAMA







