DANA Pantas dibuka 1 Ogos, tawar pembiayaan tanpa kadar keuntungan

2 Jul 2026, 5:00 AM
DANA Pantas dibuka 1 Ogos, tawar pembiayaan tanpa kadar keuntungan

SHAH ALAM, 2 JULAI: Permohonan pembiayaan tanpa kadar keuntungan menerusi inisiatif DANA Pantas di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Dua akan dibuka mulai 1 Ogos ini, dengan peruntukan keseluruhan RM20 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor Nilammasri Jaafar berkata pembiayaan sehingga RM10,000 itu boleh dipohon menerusi aplikasi DANA PLUS yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store, imbasan kod QR di https://hijrahselangor.com/pages/lokasi-cawangan atau menghubungi 12 pusat perniagaan (BC) Hijrah Selangor di seluruh negeri.

Inisiatif yang diumumkan kerajaan negeri itu menawarkan pembiayaan tanpa kadar keuntungan dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun dan dijangka memanfaatkan 2,000 usahawan berdaftar.

Menurut Nilammasri, DANA Pantas terbuka kepada semua sektor perniagaan yang telah berdaftar dan beroperasi sekurang-kurangnya setahun manakala DANA Niaga Tani yang dikhususkan kepada sektor pertanian, perikanan, penternakan dan akuakultur memerlukan tempoh operasi minimum enam bulan.

"Usahawan juga perlu mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), lesen-lesen berkaitan atau berdaftar dengan badan profesional," katanya.

Selain pembiayaan baharu, Hijarah Selangor menjangkakan seramai 6,000 usahawan sedia ada yang masih mempunyai baki pembiayaan akan mendapat manfaat daripada kemudahan penjadualan semula pembayaran balik pembiayaan yang ditawarkan tanpa sebarang penalti (tertakluk kepada terma dan syarat semasa).

Menurutnya kemudahan berkenaan bertujuan membantu mengurangkan komitmen kewangan, meringankan tekanan aliran tunai dan menyokong kelangsungan perniagaan usahawan dalam tempoh ekonomi yang mencabar.

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) Nilammasri Jaafar. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASEANGOR

Beliau turut mengakui terdapat peningkatan dari segi permintaan pembiayaan dalam kalangan usahawan susulan kenaikan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.

“Terdapat juga permohonan penjadualan semula pembiayaan daripada usahawan yang terkesan oleh cabaran ekonomi dan aliran tunai. Setiap permohonan akan dinilai mengikut keadaan serta keperluan usahawan,” katanya.

Menurut Nilammasri, antara cabaran utama yang dihadapi usahawan di Selangor ketika ini ialah kekangan modal kerja, peningkatan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah serta keperluan mendapatkan pembiayaan dengan cepat bagi merebut peluang perniagaan.

Beliau berkata sebahagian usahawan mikro dan kecil turut berdepan kesukaran mendapatkan akses pembiayaan melalui saluran kewangan tradisional, sekali gus mendorong pelaksanaan inisiatif pembiayaan yang lebih cepat, mudah dan mesra usahawan.

Nilammasri berharap pelaksanaan DANA Pantas, DANA Niaga Tani dan Inisiatif Pemulihan Usahawan Selangor (SERI) dapat membantu usahawan meningkatkan aliran tunai, memperkukuh daya tahan perniagaan serta memperluas akses kepada pembiayaan.

Menurutnya inisiatif berkenaan juga dijangka merangsang pertumbuhan perniagaan, menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan usahawan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Selangor secara mampan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.