Mobiliti bandar, kesihatan mental antara empat usul utama ADN Muda

1 Jul 2026, 11:00 AM
Mobiliti bandar, kesihatan mental antara empat usul utama ADN Muda
Mobiliti bandar, kesihatan mental antara empat usul utama ADN Muda
Mobiliti bandar, kesihatan mental antara empat usul utama ADN Muda
Mobiliti bandar, kesihatan mental antara empat usul utama ADN Muda

SHAH ALAM, 1 JULAI: Mobiliti bandar, celik undang-undang, kesihatan mental dan konsep kediaman bersama dipilih sebagai empat usul utama dalam Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026, sekali gus mencerminkan keutamaan generasi muda di negeri ini.

Usul yang dipilih menerusi proses pengundian itu memberi ruang kepada peserta membawa isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat, selain mengemukakan cadangan penyelesaian yang berpotensi diketengahkan ke Sidang Dewan Negeri (DNS).

Mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, ADN Muda Muhammad Faiz Muhammad Faris berkata beliau memilih usul transformasi mobiliti dan keselamatan bandar kerana mahu mencari penyelesaian terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang semakin membelenggu rakyat.

Muhammad Faiz Muhammad Faris

"Sebagai pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebelum ini, saya hanya mempelajari tentang Dewan Negara dan Parlimen. Program ini membuka peluang untuk saya memahami dengan lebih mendalam bagaimana sidang Dewan Negeri berlangsung serta proses menggubal usul.

"Saya berharap usul yang dibawa dapat dipertimbangkan sehingga ke Sidang Dewan Negeri supaya isu kesesakan lalu lintas dan keselamatan bandar dapat diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata penyertaannya dalam program itu turut memberi pengalaman baharu yang membina keyakinan diri, selain membuka ruang meneroka peluang kerjaya pada masa depan.

Bagi ADN Muda Seri Kembangan, Armada Muhammad Xabir Yuriny pula, beliau membawa usul berkaitan celik undang-undang selepas melihat masih ramai belia kurang memahami hak mereka serta sistem demokrasi negara.

Armada Muhammad Xabir Yuriny

"Sebagai mahasiswa undang-undang, saya melihat ramai belia masih kurang pengetahuan tentang undang-undang, malah literasi politik juga masih rendah walaupun umur mengundi telah diturunkan kepada 18 tahun.

"Saya berharap program seperti ini dapat meningkatkan kefahaman belia mengenai demokrasi, hak mereka dan seterusnya melahirkan masyarakat yang lebih celik undang-undang," katanya.

Beliau berkata pengalaman berbahas sepanjang program itu turut meningkatkan keyakinannya untuk berhujah secara lebih berkesan pada masa hadapan.

Sementara itu, isu kesihatan mental turut mendapat perhatian apabila dua peserta memilih usul berkenaan dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak berkeperluan khas serta keluarga mereka.

ADN Muda Bandar Utama, Putri Fasha Farisha berkata beliau mahu masyarakat lebih peka terhadap cabaran kesihatan mental yang dihadapi golongan OKU.

Putri Fasha Farisha

"Saya merupakan OKU fizikal dengan penyakit jarang jumpa, Congenital Myasthenia Gravis. Saya berharap penyertaan saya membuka mata masyarakat golongan OKU juga mampu menyumbang idea dalam program seperti ini.

"Kesihatan mental OKU masih kurang diberi perhatian sedangkan mereka juga berdepan pelbagai cabaran daripada persekitaran dan kehidupan seharian," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran itu berkata peluang menyertai ADN Muda Selangor menjadi pengalaman bermakna kerana tidak semua belia berpeluang merasai sendiri proses penggubalan usul.

Seorang lagi ADN Muda yang mewakili DUN Banting, Mariam Zahiah Tazali berkata beliau memilih usul sama berdasarkan penyelidikannya dalam bidang pendidikan khas.

Mariam Zahiah Tazali

"Isu kesihatan mental khususnya melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas, ibu bapa dan belia OKU masih memerlukan lebih banyak perhatian serta intervensi awal.

"Program ini bukan sahaja memberi pengalaman kepada belia untuk membawa suara rakyat, malah membuka ruang membina jaringan dengan peserta daripada pelbagai latar belakang bagi mengangkat isu-isu yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Program ADN Muda Selangor 2026 berlangsung selama dua hari hingga esok dengan penyertaan 56 belia yang dipilih daripada keseluruhan 232 permohonan.

Program yang diperkenalkan pada 2014 itu bertujuan memberi pendedahan kepada belia berusia 18 hingga 35 tahun mengenai proses demokrasi, penggubalan dasar serta perjalanan Sidang Dewan Negeri Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.