Pakej Daya Tahan: Pesawah lega bantuan RM500 tampung kos pertanian

2 Jul 2026, 2:00 AM
Pakej Daya Tahan: Pesawah lega bantuan RM500 tampung kos pertanian
Pakej Daya Tahan: Pesawah lega bantuan RM500 tampung kos pertanian

SHAH ALAM, 2 JULAI: Bantuan RM500 bagi setiap hektar sawah akan digunakan untuk menampung kos membeli racun, baja dan keperluan pertanian lain berikutan peningkatan harga ketika ini.

Ketua Kampung Blok D, K, P dan V Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Juraimi Osman memberitahu bantuan itu dinantikan pesawah ekoran harga barangan pertanian naik dan membebankan mereka.

"Kos pertanian seperti baja dan keperluan lain tidak pernah turun. Jadi, bantuan RM500 bagi setiap hektar yang diumumkan Dato' Menteri Besar sememangnya banyak membantu dan itulah yang diharapkan oleh petani," katanya kepada Media Selangor.

Juraimi yang turut mengusahakan tanaman padi dan buah melon menjelaskan inisiatid tersebut akan digunakan untuk menampung pembelian racun, baja serta pelbagai keperluan pertanian lain.

Ketua Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, Norhizam Jani pula berkata bantuan tersebut meringankan beban pesawah terutama kos diesel bagi mengendalikan jentera pertanian.

"Kos input pertanian ketika ini agak tinggi, termasuk kos diesel untuk mengendalikan jentera. Jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka," katanya.

Beliau juga berharap bantuan berkenaan disalur terus kepada golongan yang benar-benar mengusahakan sawah berbanding pemilik tanah yang menyewakan lot masing-masing.

Kampung Seri Tiram Jaya antara kawasan sawah terbesar di Tanjong Karang meliputi lebih 400 pengusaha padi. Dianggar, hampir 80 peratus penduduk menjadi pengusaha sawah dan pertanian.

Pada 23 Jun, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata bantuan dikredit ke akaun penerima selepas tapisan Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu.

“Satu hektar (sawah) mereka akan mendapat RM500, jadi kalau 10 hektar mereka dapat RM5,000. Kini, dalam proses akhir dan pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat," katanya dipetik.

Selangor memperuntuk RM355.06 juta bagi melaksanakan dua fasa Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor untuk mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Sebanyak RM145.8 juta disediakan bagi melaksanakan tujuh inisiatif dalam Fasa 1, manakala selebihnya bagi fasa dua merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan pada 19 Jun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.