OLEH HELME HANAFI
"The strongest of all warriors are these two — time and patience."
— Leo Tolstoy, War and Peace
Dalam peperangan, kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh siapa yang mempunyai senjata paling kuat, tetapi oleh siapa yang mempunyai kesabaran paling panjang dan kesediaan untuk menerima realiti baharu yang muncul.
Selepas berhari-hari ketegangan yang mencetuskan kebimbangan dunia, perkembangan terbaru di Switzerland menunjukkan bahawa Iran dan Amerika Syarikat sedang bergerak ke arah satu penyelesaian diplomatik yang mungkin mengubah landskap geopolitik Asia Barat.
Delegasi rundingan Iran yang dikenali sebagai 'Minab 168' meninggalkan Zurich selepas hampir 18 jam rundingan intensif yang bermula Ahad lalu.
Rundingan tersebut berlangsung secara dua hala dan pelbagai hala dengan pengantaraan Qatar dan Pakistan, termasuk satu sesi empat pihak selama 80 minit bersama wakil Amerika Syarikat.
Fokus utama Tehran adalah memastikan Washington melaksanakan komitmen yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad. Pada akhir rundingan, Pakistan dan Qatar mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan beberapa perkembangan penting.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, menyifatkan pertemuan peringkat tinggi pertama itu sebagai berjaya.
Antara hasil yang dicapai adalah persetujuan mengenai pelan hala tuju ke arah perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi bagi memantau aspek politik serta permulaan rundingan teknikal yang lebih terperinci.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, mengesahkan perbincangan teknikal antara Iran dan Amerika Syarikat telah pun bermula dengan diketuai Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut mengumumkan beberapa perkembangan yang dianggap sebagai kejayaan besar hasil pengantaraan Pakistan dan Qatar.
Antaranya pelonggaran sekatan eksport minyak dan petrokimia Iran, pembebasan sebahagian aset Iran yang dibekukan, serta pelancaran pelan pembangunan dan pembinaan semula berskala besar.
Satu lagi mekanisme penting yang dipersetujui adalah penubuhan 'sel penyahkonflik' melibatkan pihak berkaitan dan Lubnan bagi memastikan penghentian operasi ketenteraan di negara itu dipatuhi. Menurut Araghchi, mekanisme ini bakal menjadi 'ujian sebenar' terhadap kesungguhan semua pihak.
Perkembangan ini berlaku ketika Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dijadualkan melawat Pakistan, menandakan peranan Islamabad yang semakin penting sebagai orang tengah dalam krisis tersebut.
Namun, apa yang berlaku selepas memorandum persefahaman itu dimeterai turut menimbulkan reaksi keras di Israel.
Sebahagian media dan pengulas Israel meluahkan kekecewaan terhadap Presiden Donald Trump, malah ada yang melabelkan beliau sebagai pengkhianat dan mendakwa beliau telah meninggalkan Israel.
Hakikatnya, keputusan Trump lebih mencerminkan kepentingan strategik Amerika Syarikat berbanding kepentingan Israel semata-mata.
Setelah operasi ketenteraan gagal mencapai hasil yang diharapkan, Washington memilih untuk mengehadkan kerugian dan mencari jalan keluar melalui diplomasi.
Ramai pengkritik di Israel sebenarnya beranggapan bahawa setiap keputusan Trump akan sentiasa berpaksikan kepentingan Israel.
Persepsi itu kini sedang diuji. Hubungan antara Amerika Syarikat dan Israel sememangnya rapat, tetapi dasar luar Amerika Syarikat akhirnya ditentukan oleh kepentingan nasional Washington sendiri.
Perjanjian ini bukanlah bebas daripada kelemahan. Persoalan mengenai program uranium Iran, pembangunan peluru berpandu serta sokongan Tehran terhadap kumpulan-kumpulan bersenjata masih belum terjawab sepenuhnya.
Namun, bagi Amerika Syarikat, menghentikan konflik yang berpanjangan mungkin lebih penting daripada meneruskan peperangan tanpa penghujung yang jelas.
Apa yang sedang berlaku hari ini mungkin bukan kemenangan mutlak bagi mana-mana pihak. Sebaliknya, ia merupakan pengiktirafan bahawa peperangan mempunyai had, manakala diplomasi sentiasa menjadi pilihan terakhir apabila semua pihak mula menyedari kos sebenar sebuah konflik.
Seperti yang difahami Tolstoy lebih dua abad lalu, masa dan kesabaran sering menjadi pahlawan yang paling ampuh.
Dan mungkin, di sebalik bunyi bedilan yang semakin reda, dunia sedang menyaksikan satu hakikat lama yang sering dilupakan: musuh yang bertempur hari ini akhirnya akan kembali duduk semeja esok.







