Konflik Asia Barat, keselamatan Langkawi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

29 Jun 2026, 1:15 AM
Konflik Asia Barat, keselamatan Langkawi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kesan konflik di Asia Barat terhadap jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia dan kesiapsiagaan aset serta anggota keselamatan di Langkawi dalam menangani ancaman aktiviti penyeludupan migran antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan sejauh mana konflik di Asia Barat memberi kesan kepada jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia khususnya dari pasaran Timur Tengah, Eropah dan Asia Barat.

Beliau juga ingin tahu apakah strategi kerajaan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan.

Dalam sesi sama, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh mana tahap kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Langkawi dalam menangani ancaman aktiviti penyeludupan migran atau barang kawalan serta pencerobohan perairan memandangkan kedudukannya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand selain ingin tahu adakah kementerian bercadang untuk mewujudkan penggunaan aset dron (UAV).

Sementara itu, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pula minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan sejauh mana keberkesanan dana tambahan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) dan program komuniti PERHILITAN dalam mengurangkan konflik manusia-gajah.

Beliau juga ingin tahu apakah pelan sinergi kementerian bersama agensi berkaitan bagi memperluas penggunaan Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi melindungi keselamatan penduduk setempat.

Pada sesi itu, Datuk Willie anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula mahu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan mengenai jumlah rumah mampu milik yang masih belum terjual mengikut negeri dan kategori harga serta kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda berumur bawah 35 tahun mengikut negeri dan kawasan parlimen.

Turut dijadualkan dalam mesyuarat adalah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari hingga 16 Julai.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.