Insentif Haji Muassasah dilanjut hingga 15 Julai, peluang jemaah mohon bantuan

28 Jun 2026, 2:00 PM
Insentif Haji Muassasah dilanjut hingga 15 Julai, peluang jemaah mohon bantuan
Insentif Haji Muassasah dilanjut hingga 15 Julai, peluang jemaah mohon bantuan

SHAH ALAM, 28 JUN: Tempoh permohonan Insentif Haji Muassasah bagi tahun ini dilanjutkan sehingga 15 Julai bagi memberi peluang kepada jemaah yang masih berada di Tanah Suci atau belum mengemukakan permohonan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Insentif Haji berkata jemaah yang layak boleh membuat permohonan di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan membawa surat tawaran haji, kad pengenalan serta dokumen berkaitan.

Beliau berkata lanjutan tempoh itu bertujuan memastikan lebih ramai jemaah berpeluang menerima insentif berkenaan, khususnya mereka yang masih berada di Makkah atau baru pulang ke tanah air.

“Untuk tahun ini kita lanjutkan ke 15 Julai. Maksudnya ada jemaah yang mungkin masih lagi di Makkah atau dah pulang yang belum lagi mendaftar untuk Insentif Haji Muassasah, boleh berbuat demikian sebelum atau pada 15 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah MBI-DUN Kota Anggerik 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mohd Najwan yang juga EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan berkata permohonan berkenaan terbuka khusus kepada jemaah yang menunaikan ibadah melalui pakej Muassasah Tabung Haji.

“Yang mana belum mendaftar itu boleh mendaftar di pejabat DUN masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 166 jemaah haji Muassasah DUN Kota Anggerik menerima insentif dengan jumlah keseluruhan RM249,000.

Sementara itu, pesara, Zaemah Sukaimi, 65, berkata inisiatif berkenaan amat membantu golongan pesara sepertinya selain wajar diteruskan pada masa hadapan.

“Ini sangat baik dan sangat membantu golongan pesara seperti saya. Sumbangan juga bertambah dan patut dihargai,” katanya.

Seorang lagi penerima, Farok Azmat, 63, berkata sumbangan berkenaan dapat meringankan beban penerima terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.

“Wang sumbangan ini akan digunakan untuk membeli barang keperluan rumah,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.