SHAH ALAM, 28 JUN: Seramai 40 peserta menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi Program Pengiktirafan Kemahiran melalui Kaedah Penilaian Amali Tahun 2026 di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), Kuala Selangor, hari ini.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata program anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dengan kerjasama STDC itu bertujuan mengiktiraf kemahiran tenaga kerja berpengalaman sekali gus memperkasakan pembangunan modal insan serta meningkatkan kebolehpasaran pekerja di Selangor.
Beliau berkata pengiktirafan terhadap kemahiran sedia ada penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
"Usaha memberi pengiktirafan terhadap kemahiran sedia ada mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang berdaya saing serta memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
"Peserta yang menerima SKM berjaya melepasi proses penilaian amali dalam enam bidang kemahiran iaitu pemasangan dan penyelenggaraan, penyamanan udara dan pemanasan, penyediaan dan penghasilan makanan, perkhidmatan pembaikan kenderaan ringan, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik satu fasa, terapi spa serta pembuatan pakaian wanita," katanya menerusi hantaran Facebook.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada UPPS, STDC serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif seumpama itu diteruskan bagi memperkasa pembangunan modal insan di Selangor.
"Tahniah kepada semua penerima sijil atas komitmen dan kesungguhan dalam meningkatkan kemahiran serta daya saing diri," katanya.
Pada masa sama, majlis penutupan dan penyampaian sijil disempurnakan beliau serta memaklumkan pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan kerjaya serta pembangunan keusahawanan dalam kalangan peserta.










