SHAH ALAM, 26 JUN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 270 warga asing dalam serbuan di dua kilang di Klang pada Rabu.
Menurut jabatan itu, Op Mega dijalankan dengan kerjasama 50 anggota penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Selangor.
Seramai 586 pekerja asing diperiksa dalam operasi berkenaan, dengan 270 individu berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka.
"Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk proses tahanan reman dan siasatan lanjut," menurut JIM Selangor menerusi hantaran di Facebook semalam.
Operasi bersepadu itu turut disertai Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan) Mohamad Khusairi Kamarudin, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Redman Safar serta Ketua Bahagian Penguatkuasaan Mohd Rozy Hassan.
Dalam hantaran sama, JIM Selangor mengingatkan bahawa perbuatan melindungi pendatang asing tanpa izin merupakan satu kesalahan serius dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukannya.







