SHAH ALAM, 25 JUN: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengesahkan pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley tidak akan menyambung kontraknya yang berakhir 31 Januari 2027.
Beliau berkata keputusan itu adalah kehendak Beasley sendiri dan bukannya datang daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurutnya, beberapa sesi perbincangan telah diadakan bersama Beasley dan MSN, termasuk pertemuan serta perbincangan mendalam bagi memastikan hala tuju pembangunan sukan berbasikal negara terus kekal berada pada landasan terbaik, lapor Berita Harian.
"Kita telah pun mengadakan perjumpaan dengan Beasley dan juga MSN. Saya sendiri telah menghantar wakil untuk berbincang secara mendalam.
"Yang penting sekarang adalah pembangunan atlet kita, pembangunan berbasikal negara itu menjadi keutamaan," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di Menara KBS di Putrajaya , hari ini.
Taufiq bagaimanapun berkata Beasley bersetuju terus kekal bersama skuad negara sehingga hujung tahun ini bagi memastikan kesinambungan persediaan temasya besar seperti Sukan Komanwel di Scotland dan Sukan Asia di Jepun.
"Beliau menyatakan hasrat untuk berundur secara terhormat, tetapi kita mohon beliau kekal sehingga selesai temasya penting tahun ini. Persetujuan dicapai untuk beliau terus kekal sehingga hujung tahun ini," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Beasley boleh mempertimbangkan semula keputusannya selepas tempoh berkenaan.
"Kita tidak tahu kalau selepas Sukan Asia atau selepas tempoh itu beliau ada 'second thought' atau 'third thought'. Perkara itu masih terbuka," katanya.
Beliau berkata, Beasley turut bersetuju untuk menyediakan pelan tindakan (blueprint) bagi memastikan pembangunan sukan berbasikal negara dapat diteruskan dengan momentum sedia ada, selain mencadangkan beberapa nama jurulatih berpotensi sebagai pengganti.
Mengulas dakwaan berhubung isu dalaman yang tular di media sosial, Taufiq berkata pihaknya mengambil pendekatan berunding secara formal dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.
"Saya lebih berminat jika kita adakan perbincangan secara formal dan baik. Saya tidak mahu memihak kepada sesiapa. Kita mesti ambil sikap rasional," katanya.
Sebelum ini, Beasley membayangkan kemungkinan tidak menyambung kontraknya susulan rasa kecewa terhadap isu politik dalaman, kerenah birokrasi serta kekurangan pembangunan akar umbi.
Kenyataan itu turut mencetus perhatian apabila jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil mempertahankan jurulatih berkenaan di media sosial, sekali gus mendakwa wujud pihak tertentu yang cuba menjatuhkan Beasley.
Beasley yang lebih dua dekad bersama skuad negara sebelum ini memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet elit termasuk Azizulhasni, selepas bermula sebagai ketua jurulatih pecut trek sebelum dilantik sebagai pengarah teknikal.
Sepanjang bersama Azizulhasni, Beasley membantu pelumba itu meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuk gelaran juara dunia keirin 2017 serta pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dan perak Olimpik Tokyo 2020.







