IPOH, 25 JUN: Bekas Penolong Jurutera di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 146 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM183,500, tiga tahun lepas.
Saifol Nizam Mat Zin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan, Saifol Nizam sebagai penjawat awam telah menerima wang antara RM500 hingga RM1,500 daripada seorang kontraktor yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya sebagai penolong jurutera di Bahagian Pembangunan Daerah, PDT Kerian ketika itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar daerah Kerian dari 3 Jan 2022 hingga 11 Okt 2023 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sharul Azuan Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala lelaki itu diwakili peguam P. Ravee.
Sharul Azuan menawarkan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di SPRM Ipoh dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Ravee memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 memandangkan anak guamnya tidak berkemampuan dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah selain telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta semua syarat tambahan diminta pihak pendakwaan dan menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, SPRM, rasuah, penjawat awam, Kerian







