SHAH ALAM, 25 JUN: Kurang satu peratus daripada 14 juta pengguna dalam sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan petrol melebihi kuota 200 liter sebulan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata data itu diperoleh menerusi pemantauan harian berdasarkan penggunaan nombor kad pengenalan yang didaftarkan dalam sistem BUDI95, lapor Berita Harian.
“Setiap pengguna BUDI95 perlu mendaftar menggunakan MyKad. Setiap hari, kira-kira tiga juta transaksi direkodkan dan dianalisis bagi memastikan penggunaan sebenar.
“Sejak BUDI95 dilaksanakan pada Oktober tahun lalu hingga bulan lepas, pelaksanaannya berjalan lancar di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Amir Hamzah berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 140 liter.
Bagaimanapun, katanya kerajaan menyediakan tambahan kuota 100 liter diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, memandangkan kenderaan itu banyak digunakan oleh peniaga kecil serta penduduk luar bandar.
“Berdasarkan data DOSM, 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Ini bermakna kuota 300 liter sebulan mencukupi untuk majoriti pengguna,” katanya.
Beliau berkata penggunaan MyKad dalam penyaluran subsidi berjaya mengekang ketirisan, sekali gus memastikan bekalan diesel bersubsidi terus dinikmati rakyat yang layak.
“Kita mahu bekalan diesel kekal mencukupi ketika krisis dan memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi ini. Pembaharuan ini dapat menutup ruang ketirisan serta menjamin bekalan bahan api,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan tambahan kuota 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik pikap dan jip yang layak menerusi BUDI MADANI, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter, berkuat kuasa 1 Julai ini.







