Mayat lelaki ditemukan dalam parit maut akibat kemalangan motosikal

24 Jun 2026, 7:18 AM
Mayat lelaki ditemukan dalam parit maut akibat kemalangan motosikal

SHAH ALAM, 24 JUN: Misteri penemuan mayat seorang lelaki di dalam parit berhampiran Seksyen 15 di sini akhirnya terungkai selepas polis mengesahkan mangsa maut akibat kemalangan motosikal, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata siasatan mendapati mangsa yang berusia lingkungan 40-an sedang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Seksyen 25 sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 5.40 pagi.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa berusia 40-an kemudian terjatuh ke dalam parit dan mengalami cedera parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Laporan bedah siasat yang dijalankan pada pukul 9 pagi hari ini menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada akibat kemalangan kenderaan,” katanya kepada pemberita hari ini seperti dilapor Utusan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.