Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya gilap bakat, potensi pelajar

23 Jun 2026, 8:43 AM
Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya gilap bakat, potensi pelajar
Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya gilap bakat, potensi pelajar
Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya gilap bakat, potensi pelajar

AMPANG JAYA, 23 JUN: Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya menjadi platform mencungkil bakat dan potensi murid dalam pelbagai bidang, selaras usaha melahirkan generasi pelajar yang seimbang, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin berkata penganjuran konvensyen itu membuka ruang kepada murid menyerlahkan kebolehan menerusi pelbagai program termasuk pertandingan inovasi, robotik, bahasa Inggeris, seni, koir dan pantun.

Menurutnya, pendidikan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu memberi peluang kepada murid mengembangkan bakat, minat dan kemahiran mengikut kecenderungan masing-masing.

Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Malaysia, Rozana Zainal Abidin berucap ketika Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Setiap murid mempunyai kekuatan yang berbeza. Ada yang cemerlang dalam bidang akademik, ada yang berbakat dalam bidang seni, mempunyai kecenderungan dalam teknologi atau menyerlah dalam kepimpinan.

“Tanggungjawab semua pihak adalah menyediakan ruang dan peluang yang secukupnya agar setiap potensi yang ada dapat dicungkil dan dikembangkan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya di Pusat Konvensyen MPAJ hari ini.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Taman Tasik, Nik Masniyana Nik Abdul Majid melihat anak muridnya melakukan demontrasi mengurut ketika Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Konvensyen dua hari yang berlangsung sehingga esok merupakan inisiatif Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat dan Gombak bagi memperkasa pendidikan melalui pelbagai aktiviti interaktif dan pengisian bermanfaat.

Antara program yang diadakan ialah pertandingan inovasi dan robotik, English Treasure Hunt Adventure, bengkel teknik menjawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, perkongsian mengenai keselamatan internet serta reruai pameran pendidikan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari bersama wakil UPTM ketika sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara MPAJ dan UPTM sempena Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Jun 2026. Turut sama Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Malaysia, Rozana Zainal Abidin dan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Rozzana turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPAJ dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelaksanaan program pendidikan, pembangunan belia dan kesukarelawanan di Ampang Jaya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Menengah Taman Tasik Nik Masniyana Nik Abdul Majid berkata penyertaan dalam konvensyen berkenaan memberi peluang kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menyesuaikan diri dengan suasana sebenar dunia pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

Katanya, murid PPKI sekolah itu didedahkan dengan kemahiran urutan refleksologi sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan selepas tamat persekolahan.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Taman Tasik, Nik Masniyana Nik Abdul Majid

“Bila kita bawa mereka keluar daripada persekitaran sekolah, mereka dapat bergaul dengan orang ramai dan membiasakan diri dengan situasi sebenar. Pengalaman ini sangat penting untuk membina keyakinan diri mereka.

“Ada dalam kalangan murid yang pada awalnya agak malu dan kurang yakin untuk berinteraksi dengan orang luar. Namun apabila diberi peluang menyertai program seperti ini, mereka semakin berani berkomunikasi dan menunjukkan kebolehan yang dimiliki,” katanya.

Bagi guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina On Pong, Lee Chooi Heong, konvensyen itu turut menjadi medium memupuk keyakinan murid melalui pameran seni kaligrafi Cina yang diketengahkan sekolah berkenaan.

Menurutnya, peluang menghasilkan kaligrafi secara langsung di hadapan pengunjung bukan sahaja memperkenalkan warisan seni tersebut kepada masyarakat, malah membantu murid meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri.

Guru SJKC On Pong, Lee Chooi Heong

“Biasanya murid menghasilkan kaligrafi di dalam bilik darjah atau ketika aktiviti sekolah sahaja. Melalui program seperti ini, mereka dapat menunjukkan bakat kepada masyarakat dan belajar berinteraksi dengan pengunjung yang datang ke reruai,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.