Tiga premis dijadikan asrama warga asing tanpa kelulusan diserbu

23 Jun 2026, 4:07 AM
Tiga premis dijadikan asrama warga asing tanpa kelulusan diserbu
Tiga premis dijadikan asrama warga asing tanpa kelulusan diserbu
Tiga premis dijadikan asrama warga asing tanpa kelulusan diserbu
Tiga premis dijadikan asrama warga asing tanpa kelulusan diserbu
Tiga premis dijadikan asrama warga asing tanpa kelulusan diserbu

SHAH ALAM, 23 JUN: Tiga premis yang disyaki dijadikan asrama pekerja warga asing tanpa kelulusan diserbu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerusi operasi bersepadu di sekitar Batu Nilam, Taman Palm Grove dan Solok Batu Unjur, baru-baru ini.

MBDK memaklumkan operasi dijalankan pada 19 Jun lalu membabitkan kerjasama Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Bangunan, Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Kesihatan.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pemeriksaan mendapati premis terbabit melakukan beberapa kesalahan termasuk pengubahsuaian tanpa kelulusan serta penyalahgunaan rumah kediaman dan bangunan perniagaan sebagai asrama pekerja.

Selain itu, premis berkenaan turut didapati gagal menjaga kebersihan persekitaran sehingga menimbulkan isu yang boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga premis terbabit, dua kompaun, dua notis pemberitahuan serta satu amaran berkaitan kebersihan kawasan kediaman dikeluarkan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam operasi sama, MBDK turut mengesan aktiviti penyimpanan barangan runcit yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran sah sebelum kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Pelesenan untuk siasatan lanjut.

MBDK menegaskan semua pemilik premis perlu mematuhi garis panduan permohonan asrama pekerja Penginapan Pekerja Jangka Pendek (TLQ) dan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) serta memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kebersihan penghuni sentiasa dipelihara.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan setiap premis mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk.

Langkah itu selaras dengan komitmen MBDK untuk mewujudkan persekitaran yang selamat, bersih dan kondusif kepada penduduk, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Bandar Diraja Klang.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.