SHAH ALAM, 23 JUN: Polis menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes kecurian tiga botol minyak enjin motosikal di sebuah stesen minyak di Kanchong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.01 petang daripada seorang wanita berusia 31 tahun.
Menurutnya, pengadu memaklumkan seorang lelaki mengambil tiga botol minyak enjin motosikal bersaiz satu liter dari rak jualan sebelum keluar dari premis tanpa membuat pembayaran, lapor Berita Harian.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai cermin mata hitam, baju lengan pendek dan seluar jeans mengambil minyak enjin tersebut sebelum melarikan diri menaiki sebuah Perodua Myvi yang dilaporkan dicuri,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima, polis berjaya menahan dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an di medan selera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Katanya, seorang lagi suspek masih bebas dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.







