Hakim Danish pamer kebangkitan luar biasa, muncul juara GP Czech

21 Jun 2026, 1:24 PM
Hakim Danish pamer kebangkitan luar biasa, muncul juara GP Czech

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Kehilangan 12 anak tangga di grid permulaan tidak mematahkan semangat pelumba muda negara Hakim Danish Ramli untuk bangkit mencipta kemenangan sensasi dalam perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, hari ini.

Kejayaan pelumba berusia 18 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menamatkan penantian selama 10 tahun Malaysia untuk menyaksikan kemenangan wakil negara dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir diraih Khairul Idham Pawi pada GP Argentina dan GP Jerman musim 2016.

Meskipun berjaya meraih petak kedua pada sesi kelayakan semalam, Hakim Danish dikenakan hukuman selepas didapati memperlahankan motosikalnya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2).

Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish kehilangan 12 posisi dan terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 hari ini.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan aksi cemerlang apabila memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat (s).

Pelumba Sepanyol Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466s, manakala rakan senegaranya, Marco Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team, melengkapkan podium di kedudukan ketiga selepas 0.629s di belakang Hakim Danish.

Kemenangan itu turut menandakan kali kedua Hakim Danish menaiki podium musim ini selepas mencipta sensasi bulan lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP Itali di Litar Mugello.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.