SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia di seluruh negara mulai Julai.
Kementerian Kewangan memaklumkan pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan ketika berada di Bintulu, Sarawak, hari ini.
Menurut kementerian itu, langkah tersebut akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Katanya, pembaharuan itu membolehkan rakyat Malaysia menikmati harga diesel dan kaedah pembelian yang sama di seluruh negara menerusi pengesahan MyKad.
"Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi," menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan berkata langkah berkenaan penting dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global bagi memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia.
Selain itu, pelaksanaannya dijangka dapat mengurangkan ketirisan serta aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi.
"Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi sebelum ini telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara," katanya.
Ketika ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
Susulan pembaharuan penyasaran subsidi itu, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga runcit di Semenanjung Malaysia.
Pada masa sama, rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel di kedua-dua negeri berkenaan akan menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok (22 Jun).







