LBC Hulu Selangor bantu kurangkan pengangguran belia, tawar lebih 1,000 peluang kerja

21 Jun 2026, 1:00 AM
LBC Hulu Selangor bantu kurangkan pengangguran belia, tawar lebih 1,000 peluang kerja
LBC Hulu Selangor bantu kurangkan pengangguran belia, tawar lebih 1,000 peluang kerja
LBC Hulu Selangor bantu kurangkan pengangguran belia, tawar lebih 1,000 peluang kerja

SERENDAH, 21 JUN: Program Local Business Connect (LBC) berpotensi membantu mengurangkan isu pengangguran dan ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan belia, di samping mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke bandar-bandar utama.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao berkata, program itu menjadi platform yang menghubungkan syarikat tempatan dengan tenaga kerja berkemahiran, sekali gus memastikan peluang pekerjaan hasil pelaburan di Selangor dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

"Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa. Apabila kita melihat pertumbuhan ekonomi yang baik, kita mahu memastikan manfaat pelaburan itu dapat dirasai oleh penduduk tempatan.

"Hari ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membawa lebih 1,000 peluang pekerjaan dan lebih 50 peratus daripadanya menawarkan gaji RM2,500 ke atas," katanya ketika menghadiri program Local Business Connect Hulu Selangor Siri 2 di Dewan Komuniti Serendah, semalam.

Pang berkata, inisiatif seperti LBC amat penting kerana masih ramai anak muda berdepan isu pengangguran serta pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.

Orang ramai hadir ke Local Business Connect@Hulu Selangor untuk mengambil peluang pekerjaan yang di tawar di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

"Usaha kerajaan adalah menjadi jambatan antara syarikat tempatan dan tenaga kerja tempatan supaya anak-anak muda dapat menikmati limpahan daripada perkembangan ekonomi yang berlaku.

"Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan lagi bagi memastikan lebih ramai anak muda memperoleh peluang pekerjaan yang berkualiti," ujarnya.

Sock Tao berkata Hulu Selangor kini berkembang pesat dan berpotensi menjadi hab ekonomi baharu yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi di daerah itu membolehkan anak muda membina kerjaya berhampiran tempat tinggal mereka tanpa perlu berhijrah ke Shah Alam, Klang atau bandar-bandar lain untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

"Ramai penduduk ingin mengetahui peluang pekerjaan yang tersedia di Hulu Selangor. Program seperti ini bukan sahaja mempromosikan peluang tersebut, tetapi menawarkan pekerjaan yang sebenar kepada anak-anak muda kita.

"Apabila perniagaan tempatan berkembang dan peluang pekerjaan bertambah, ekonomi tempatan juga akan terus berkembang," katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tau bercakap kepada media selepas program Local Business Connect@Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Mengulas perkembangan pelaburan di kawasan itu, Sock Tao berkata beliau optimis Hulu Selangor, khususnya Kuala Kubu Baharu dan Lembah Beringin, mempunyai prospek ekonomi yang cerah susulan kemasukan beberapa pelaburan strategik.

Katanya, selain pelaburan Chery Malaysia di Lembah Beringin, satu lagi pelaburan berkaitan industri kenderaan elektrik (EV) dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya menjangkakan Kuala Kubu Baharu dan Lembah Beringin akan menjadi kawasan yang lebih dinamik serta mempunyai potensi ekonomi yang tinggi untuk penduduk setempat.

"Kita bukan sahaja mahu melihat perkembangan ekonomi dan industri, tetapi juga memastikan Kuala Kubu Baharu kekal sebagai sebuah pekan mampan yang terkenal dengan keindahan serta nilai sejarahnya," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.