Pengasingan sisa halal, tidak halal dilakukan di rumah sampah

19 Jun 2026, 12:40 PM
Pengasingan sisa halal, tidak halal dilakukan di rumah sampah

SHAH ALAM, 19 JUN: Garis panduan pengasingan sisa organik halal dan tidak halal di Selangor hanya terpakai di tapak pengumpulan sisa utama atau rumah sampah di kompleks beli-belah dan pasar raya besar, bukan tong sampah di dalam premis perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata pelaksanaan itu tidak melibatkan tong sampah kecil yang disediakan di dalam premis penyewa atau di kawasan umum pusat beli-belah.

Beliau menjelaskan garis panduan berkenaan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini kerajaan negeri belum menerima aduan rasmi daripada pengusaha perniagaan berhubung pelaksanaannya.

Menurutnya Kerajaan Negeri menyedari bahawa pada peringkat akhir pengurusan sisa, semua bahan buangan akan dilupuskan bersama.

“Kami sedia maklum bahawa pada peringkat akhir pengurusan, semua sisa akan dilupuskan bersama termasuk dihantar ke loji sisa-ke-tenaga (WTE) untuk proses pembakaran.

“Oleh itu, kami bersedia mendengar pandangan daripada pemegang taruh dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kami mengalu-alukan maklum balas yang membina untuk dibawa kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bagi meneliti semula sebarang kelemahan dalam garis panduan ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung di Facebook yang meminta penjelasan berhubung syarat pengasingan sisa dalam Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Perniagaan Negeri Selangor 2025.

Suee Lim mengakui proses mengemas kini sesuatu garis panduan mungkin mempunyai kelemahan dan boleh menimbulkan kekeliruan atau tafsiran yang berbeza dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk berunding dengan semua pihak termasuk persatuan peniaga melalui sesi dialog rasmi.

“Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka. Mana-mana pihak termasuk persatuan peniaga boleh mengemukakan surat rasmi untuk mengadakan sesi dialog bersama kami.

“Ini penting bagi memastikan garis panduan ini dapat ditambah baik demi memelihara keharmonian serta kepentingan masyarakat majmuk di Selangor,” katanya.

Menurut rekod, syarat tersebut diwujudkan kerana sebahagian pasar raya besar mempunyai zon bukan halal khas yang memerlukan sisa organik dari kawasan berkenaan diasingkan sebelum dihantar ke rumah sampah.

Ketetapan itu dikekalkan dalam versi terkini garis panduan bagi tahun 2025.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.