SHAH ALAM, 18 Jun: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) menggesa penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) diperkukuh bagi memastikan usaha membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat PEMADAM, Dato' Jamelah A Bakar berkata langkah itu penting susulan peningkatan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda.
"Daripada perspektif pencegahan dadah dan kesihatan awam, perkara yang lebih utama ketika ini ialah memastikan segala usaha membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang terus diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta 852 secara konsisten.
"Perkembangan penggunaan vape yang semakin meluas, khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda, memerlukan perhatian serius daripada semua pihak," katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.
Katanya, peningkatan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap risiko ketagihan serta kesan jangka panjang terhadap kesihatan awam.

"Lebih membimbangkan, terdapat laporan penyalahgunaan vape dengan mencampurkan bahan psikoaktif dan dadah sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan serius, gangguan kesihatan mental dan risiko kematian.
"Vape bukan lagi sekadar isu nikotin, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya," katanya lagi.
Jamelah berkata pendekatan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan bersepadu perlu menjadi keutamaan bagi menangani isu berkenaan.
Menurutnya, kawalan terhadap akses dan penjualan vape perlu dipertingkatkan, terutama menerusi platform digital yang mudah diakses golongan muda.
"Tindakan lebih tegas perlu dikenakan terhadap penjualan vape secara dalam talian termasuk melalui media sosial, platform e-dagang, WhatsApp dan Telegram.
"Pemantauan terhadap kandungan produk vape juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang atau dadah sintetik disalahgunakan melalui produk tersebut," ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa supaya promosi dan pengiklanan vape yang menyasarkan golongan muda dibendung dengan lebih berkesan.
Katanya, usaha menangani ancaman vape memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat.
"Akta 852 telah menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape. Keutamaan sekarang ialah memastikan penguatkuasaannya diperkasakan secara berterusan.
"Ancaman vape dan penyalahgunaan dadah tidak boleh dipandang ringan kerana tindakan pencegahan hari ini akan menentukan keselamatan dan kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan," katanya.







