MB: Pakej Daya Tahan Selangor fasa kedua sokong sektor industri

17 Jun 2026, 1:00 PM
MB: Pakej Daya Tahan Selangor fasa kedua sokong sektor industri

SHAH ALAM, 17 JUN: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua yang sedang dirangka dijangka memperkukuh kelangsungan sektor perindustrian negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan fasa pertama bernilai RM140 juta telah bermula sejak 15 Jun lalu, manakala fasa kedua kini dalam peringkat perincian.

“Sebagai langkah menangani kesan krisis bekalan tenaga dan bahan asas akibat Perang Timur Tengah awal tahun ini, Kerajaan Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan nilai sejumlah RM140 juta sebagai penampan untuk membantu rakyat.

“Inisiatif ini memfokuskan kepada keterjaminan bekalan makanan, kawalan inflasi, dan bantuan langsung.

“Pelaksanaan bantuan ini bermula 15 Jun sebagai fasa pertama, manakala fasa kedua pula sedang dirangka bagi menyokong kelangsungan sektor perindustrian negeri,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Jelasnya, untuk semakan lanjut mengenai status permohonan atau panduan penebusan, boleh rujuk pengumuman rasmi di www.selangor.gov.my/pakejdayatahan

Berikut adalah inisiatif utama di bawah pakej ini:

  • Baucar Kita Selangor: Bantuan bernilai RM100 sebulan (selama 6 bulan) diberikan kepada 50,000 penerima terpilih bagi meringankan beban kos kehidupan harian.

  • Subsidi Pengangkutan: Bantuan subsidi pengangkutan awam/minyak bernilai RM30 sebulan. Permohonan dan penebusan telah dibuka bermula 1 Jun 2026 melalui aplikasi NINE.

  • Program Jualan Ehsan Rahmah (JER): Peningkatan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menawarkan barangan asas pada harga murah untuk kesejahteraan perbelanjaan warga Selangor.

  • Inisiatif Sarapan Percuma: memanfaatkan pelajar di 965 sekolah di seluruh negeri. Program yang diuruskan melalui 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini bertujuan untuk meringankan perbelanjaan ibu bapa dan memastikan murid mendapat nutrisi yang baik sebelum memulakan sesi pembelajaran.

  • Bantuan Sektor Pertanian: Peruntukan sebanyak RM25 juta disalurkan untuk membantu lebih 14,000 pengusaha agromakanan bagi menangani peningkatan kos operasi dan memastikan keterjaminan bekalan makanan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.