Rektor UIAM Osman Bakar dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H

17 Jun 2026, 5:45 AM
Rektor UIAM Osman Bakar dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H

PUTRAJAYA , 17 JUN: Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di Masjid Putra di sini hari ini.

Pada majlis sama, pakar fiqah Islam dari Maghribi Dr Ahmad Al-Raysuni diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Anugerah berkenaan disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan mengurniakan wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada dua tokoh berkenaan.

Majlis sambutan tahun ini bertemakan ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama isteri Datin Ruziah Mohd Tahir serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Osman, 80, yang merupakan anak jati Kampung Bukit Lada, Chenor, Pahang menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan tertinggi atas sumbangannya dalam bidang ilmu.

“Saya sudah bertugas di banyak universiti dalam serta luar negara dan ini jihad saya untuk medan ilmu. Jihad untuk mempertahankan ilmu benar dan melawan ilmu palsu…ini tugas saya sepanjang 56 tahun berkecimpung dalam bidang akademik,” katanya pada sidang media selepas selesai majlis itu.

Penerima Anugerah Ilmu Kemanusiaan Global pada Disember 2019 itu berkata pengalaman luas dalam akademia membuka ruang untuk beliau berkongsi kepakaran, membimbing generasi baharu dan menyumbang kepada pembangunan ilmu di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata jihad ilmu tidak terhad kepada aktiviti mencari pengetahuan semata-mata, tetapi merangkumi usaha meneroka ilmu baharu, menyebarkannya kepada masyarakat serta mengaplikasikannya bagi membawa manfaat kepada umat dan negara.

“Sepanjang berada di pusat pengajian tinggi, saya menuntut ilmu, mencari ilmu, berkongsi ilmu, menyebarkan ilmu dan mengaplikasikan ilmu itu untuk kebaikan masyarakat,” kata bapa kepada enam anak dan empat cucu itu.

Sempena sambutan Maal Hijrah, Osman mengajak masyarakat menghayati makna hijrah dalam konteks lebih luas kerana hijrah bukan hanya merujuk kepada perpindahan fizikal Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Yathrib, tetapi turut mencerminkan semangat transformasi yang mengubah Yathrib menjadi Madinah sebagai sebuah masyarakat, negara dan tamadun berteraskan ilmu, keadilan serta nilai-nilai murni.

Sementara itu, Ahmad Al-Raysuni, 73, berkata pengiktirafan itu bukan sahaja membawa makna besar kepada dirinya, malah mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memartabatkan syiar Islam melalui pelbagai inisiatif dan program yang memberi pengiktirafan kepada tokoh berjasa kepada agama.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas penghormatan ini. Pada pandangan saya, Malaysia antara negara Islam sangat komited dalam menganjurkan program seperti sambutan Maal Hijrah yang mengangkat syiar Islam dan menghargai sumbangan individu kepada pembangunan ummah,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam pelbagai bidang sejak lebih 50 tahun lalu, beliau berkata sumbangannya merangkumi aspek dakwah, kebajikan, pembangunan sosial dan pemikiran Islam sebelum memberi tumpuan lebih mendalam kepada bidang akademik sejak dua dekad ini.

Ahmad Al-Raysuni berkata fokus terhadap dunia akademik didorong oleh keyakinan bahawa ilmu merupakan asas utama kepada pembangunan ummah dan tamadun.

“Ilmu mesti didahulukan sebelum perkataan dan perbuatan. Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu merupakan asas kepada segala bentuk pembangunan dan perubahan masyarakat,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengajak umat Islam menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai medan muhasabah dan titik permulaan untuk melakukan perubahan positif dalam kehidupan, selaras dengan semangat pembaharuan yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.