Deruman maya jadi tiket ke litar profesional

18 Jun 2026, 4:00 AM
Deruman maya jadi tiket ke litar profesional
Deruman maya jadi tiket ke litar profesional
Deruman maya jadi tiket ke litar profesional
Deruman maya jadi tiket ke litar profesional

Permainan digital mampu memberi pengaruh besar khususnya dalam proses mengasah bakat dan minat golongan muda menceburi bidang e-sukan yang semakin berkembang sesuai dengan teknologi semasa.

Kayu ria (joystick) dan permainan komputer pernah satu ketika menjadi fenomena di awal perkembangan dunia multimedia bahkan kafe siber turut dipenuhi anak muda selepas waktu persekolahan dan hujung minggu.

Bagi jaguh perlumbaan simulasi atau sim racing, Taj Izrin Aiman Taj Madira, dunia maya menjadi batu loncatan untuknya mengorak langkah lebih jauh ke dunia permotoran.

Walaupun deruman enjin menjadi halwa telinganya menerusi pembesar suara, ia tetap menjadi titik mula kepada perjalanan sebenar di litar lumba.

Mengimbau permulaan dalam dunia e-sukan, pemuda berusia 27 tahun itu berkata beliau didedahkan dengan dunia perlumbaan oleh ayahnya yang sering menyertai program berkaitan kereta.

Bagaimanapun, pendedahan berkenaan tidak menjadi 'tiket' yang membolehkannya bermain peranti PlayStation 2 lebih kerap ketika itu kerana masih bersekolah. Kesabarannya itu akhirnya terbalas apabila bapanya sendiri menghadiahkan mesin simulasi perlumbaan.

Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 18 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menggunakan pelantar permainan video digital seperti Gran Turismo 7 dan iRacing, Taj Izrin Aiman mula mengasah kemahiran memandu termasuk teknik mengambil selekoh hingga memahami garis perlumbaan.

Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, beliau akhirnya mengorak langkah beralih daripada sim racing ke perlumbaan sebenar yang lebih mencabar berbekal kemahiran aksi secara digital.

"Jika di dunia maya, banyak bergantung pada koordinasi tangan dan mata, di litar sebenar perlukan kekuatan fizikal dan ketahanan mental yang tinggi kerana ia merupakan sukan berisiko tinggi," katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan faktor seperti daya graviti, tekanan perlumbaan dan keadaan litar yang berubah-ubah menjadikan pengalaman perlumbaan jauh lebih kompleks berbanding simulasi.

Pelumba Sim Racer, Taj Izrin Aiman, 27, sebelum perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 18 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Belanja besar sukan permotoran

Kejayaan Taj Izrin Aiman menjuarai Kejohanan E-Racing Toyota Gazoo Racing lima edisi tidak diraih dengan mudah. Sukan permotoran menuntut peserta berbelanja besar kerana kosnya tinggi seiring perkembangan teknologi.

Walaupun kemenangan berkenaan membuka lembahan baharu buatnya melakar kerjaya sebagai pelumba Toyota Vios Club, beliau mengakui sim racing antara pintu masuk yang lebih inklusif dan tidak menggunakan kos yang tinggi.

Tanpa memerlukan jentera mahal atau akses ke litar, sesiapa sahaja boleh bermula dengan peralatan asas dan latihan konsisten.

Fenomena sim racing kini semakin mendapat perhatian sebagai cabang e-sukan yang berpotensi menjana pendapatan. Melalui pertandingan, tajaan dan pembinaan jenama peribadi, pemain mampu menjadikan minat sebagai kerjaya.

Taj Izrin Aiman mengakui kejayaan dalam bidang tersebut memerlukan lebih daripada sekadar bakat.

"Kalau nak berjaya, kena berani cuba, konsisten dan jangan mudah putus asa," katanya yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia dan mewakili rantau ini ke peringkat lebih tinggi.

Perjalanan Taj Izrin Aiman bermula daripada permainan digital hingga ke pentas antarabangsa mencerminkan perubahan besar dalam dunia sukan.

Pelumba Sim Racer, Taj Izrin Aiman, 27, sebelum perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 18 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Apabila sempadan antara realiti dan digital semakin kabur, permainan seperti sim racing mampu menjadi pentas latihan baharu untuk melahirkan pelumba profesional yang bermula dari rumah.

Tidak dinafikan, industri e-sukan juga kian berkembang malah pelbagai pertandingan dianjurkan di segenap peringkat sama ada tempatan atau antarabangsa. E-sukan turut tersenarai antara sukan tambahan dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Sebelum ini, e-sukan menjadi acara rasmi yang dipertandingkan dalam Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) sejak edisi 2019 di Filipina dan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam mencatat jumlah acara e-sukan terbanyak dengan lapan acara dipertandingkan.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.