SHAH ALAM, 16 JUN: Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru semalam atas pertuduhan mengabaikan dua anaknya sehingga menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata wanita berusia 37 tahun itu yang juga ibu kepada dua kanak-kanak warga tempatan berkenaan, didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Ini susulan kertas siasatan yang sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
"Mahkamah membenarkan suspek diikat jamin sebanyak RM8,000, namun wanita itu gagal membayar wang jaminan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek kini ditahan di penjara sehingga tarikh sebutan semula kes pada 22 Julai depan.
Dalam kejadian pada 7 Jun lalu, dua beradik terbabit dilaporkan terjatuh dari tingkat 12 sebuah blok pangsapuri sebelum ditemukan berhampiran kawasan kolam renang premis berkenaan.
Kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abangnya cedera parah.







