SHAH ALAM, 16 JUN: Program Baucar Kita Selangor masih belum dibuka untuk permohonan umum dan hanya penerima yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) secara berperingkat bermula 23 Jun ini.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan bantuan berkenaan akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang dikenal pasti berdasarkan data serta senarai dikeluarkan agensi berkaitan.
Antara kumpulan yang layak menerima bantuan tersebut ialah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Kenyataan itu menjelaskan penerima yang layak akan menerima SMS secara berperingkat mulai 23 Jun bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar Kita Selangor.
Mereka juga perlu memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan sebagai sebahagian daripada proses permohonan bantuan tersebut.
“Penerima yang layak akan menerima SMS secara berperingkat bermula 23 Jun bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar Kita Selangor serta dokumen sokongan diperlukan,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi Kerajaan Negeri yang akan dibuat pada 22 Jun sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan program berkenaan.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan berwaspada dan tidak menekan SMS yang mengandungi pautan mencurigakan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Maklumat lanjut mengenai Program Baucar Kita Selangor akan diumumkan menerusi saluran rasmi Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.






