PM berlepas ke Rusia esok, bawa agenda jamin bekalan minyak negara

15 Jun 2026, 12:37 PM
PM berlepas ke Rusia esok, bawa agenda jamin bekalan minyak negara

MUAR, 15 JUN: Agenda menjamin bekalan tenaga negara terus menjadi keutamaan kerajaan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melakukan lawatan kerja ke Kazan, Rusia esok bagi mengadakan pertemuan penting dengan Presiden Vladimir Putin.

Anwar berkata lawatan itu, yang melibatkan mesyuarat antara pemimpin ASEAN dengan kepimpinan Rusia, akan dimanfaat bagi memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan minyak ke Malaysia.

"Antara yang saya nak tegaskan bila jumpa dengan Putin, nak pastikan minyak itu dia dapat salur juga kepada kita... ini rahsia kita baik dengan orang," katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Minum Petang bersama komuniti nelayan, peladang dan masyarakat setempat di Medan Selera Pantai Leka di sini hari ini.

Beliau berkata langkah proaktif itu penting bagi memastikan negara mempunyai jaminan bekalan tenaga jangka panjang selain mengelakkan krisis bekalan yang kini mula melanda beberapa negara jiran di rantau ASEAN sehingga ada yang terpaksa menutup stesen minyak.

Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang baik dan hubungan antarabangsa yang kukuh membolehkan Malaysia mengekalkan harga minyak runcit domestik khususnya RON95 pada paras RM1.99 seliter, iaitu antara yang terendah di dunia.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik di Asia Barat susulan konflik melibatkan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran yang menyebabkan penutupan Selat Hormuz.

Anwar berkata sebarang gangguan di laluan maritim strategik itu akan memberi kesan rantaian secara langsung kepada ekonomi domestik melalui kenaikan harga minyak global.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun, beliau menerima maklumat terkini daripada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif yang membayangkan konflik bersenjata itu mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Semalam dapat maklumat daripada Perdana Menteri Pakistan, dia kata akan tandatangan mungkin hari Jumaat selesai perang itu.

“Kita doakan kerana kalau tidak, Selat Hormuz ditutup... kesan sehingga ke Malaysia, (harga) minyak naik... hari ini, (harga) minyak dah mula turun sedikit," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.