El Nino kuat dijangka berterusan, agensi kerajaan perketat kesiapsiagaan

15 Jun 2026, 11:47 AM
El Nino kuat dijangka berterusan, agensi kerajaan perketat kesiapsiagaan

PUTRAJAYA, 15 JUN: Agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas akibat fenomena El Nino berintensiti kuat yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan strategi dan tindakan kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan telah dibentangkan oleh agensi berkaitan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2026 di sini hari ini.

Menurut NRES, fenomena itu dijangka menyebabkan taburan hujan berkurangan dan cuaca menjadi lebih panas serta kering berbanding keadaan biasa, sekali gus memberi implikasi terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu yang menjejaskan kesihatan awam.

Oleh itu, JIJCKK hari ini bersetuju agar setiap jabatan dan agensi berkaitan melaksanakan mesyuarat koordinasi bagi memastikan tindakan awal yang berkesan serta mempertingkatkan langkah pencegahan dan pemantauan secara berterusan bagi mengekang pembakaran terbuka, jerebu serta kejadian kebakaran berulang.

“Kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut, jentera dan sumber manusia juga perlu dipastikan supaya insiden kebakaran dapat dipadamkan dengan segera dan mengelakkan jerebu tempatan,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan bersedia dengan persiapan logistik dan sumber manusia untuk digerakkan bagi menghadapi impak Monsun Barat Daya.

Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia diarahkan bersiap siaga bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan terjejas, tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera.

Sementara itu, NRES menasihatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis diceroboh sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” menurut kenyataan itu.

Di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta kompaun maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap kesalahan.

Dalam perkembangan sama, NRES memaklumkan menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan mengetuai delegasi negara menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-27 di Bali, Indonesia, pada 8 dan 9 Julai ini.

“Semua negara anggota MSC akan membentangkan strategi dan inisiatif pencegahan kebakaran hutan dan tanah. Malaysia juga akan membentangkan cadangan penambahbaikan pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan semasa mesyuarat ini,” menurut kenyataan itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.