Polis siasat kes dua pelajar bergaduh di padang bola, seorang cedera

15 Jun 2026, 12:35 AM
Polis siasat kes dua pelajar bergaduh di padang bola, seorang cedera

SHAH ALAM, 15 JUN: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua pelajar sekolah di padang bola sebuah masjid di Seksyen 19 di sini selepas salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa kepada salah seorang pelajar terbabit berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun itu saling mengenali serta bersekolah di institusi pendidikan yang sama.

"Pergelutan itu hanya membabitkan dua pelajar berkenaan namun dipercayai turut disaksikan beberapa pelajar lain yang berada di lokasi kejadian.

"Salah seorang daripada pelajar itu kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mendapatkan perintah menjalankan siasatan serta memanggil semua saksi yang berada di lokasi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-558 3436 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.