TEHRAN, 14 JUN: Jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei dijadual disemadikan di Maqam Imam Reza, Mashhad pada 9 Julai depan selepas melalui siri upacara penghormatan terakhir dan perarakan jenazah di beberapa bandar utama negara itu.
Menurut pejabat yang menguruskan karya dan legasi beliau, majlis penghormatan terakhir akan berlangsung selama enam hari bermula 4 Julai bagi memberi peluang kepada rakyat dan pemimpin dunia memberikan penghormatan terakhir.
Press TV melaporkan, upacara penghormatan itu akan diadakan di Musalla Imam Khomeini, Tehran pada 4 dan 5 Julai, bersamaan 19 dan 20 Muharam.
Perarakan jenazah di ibu negara Iran pula dijadual berlangsung pada 6 Julai sebelum diteruskan di bandar suci Qom sehari kemudian.
Jenazah Allahyarham kemudiannya akan dibawa ke Mashhad untuk upacara pengebumian yang dijadual berlangsung pada 9 Julai di Maqam Imam Reza, antara lokasi keagamaan paling penting di Iran.
Penganjur turut mengundang rakyat Iran, umat Islam dan masyarakat antarabangsa untuk menghadiri siri upacara berkenaan, dengan kehadiran besar-besaran dijangka menyertai penghormatan terakhir itu.
Allahyarham dilaporkan terkorban dalam serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu, ketika hari pertama konflik tercetus.







