Evolusi peraturan bola sepak menunjukkan bagaimana sukan ini sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Daripada permainan yang lebih kasar dan perlahan pada abad ke-19, bola sepak moden kini lebih pantas, teknikal dan dibantu teknologi, sambil mengekalkan identiti utamanya sebagai sukan paling popular di dunia.
Peraturan sukan ini melalui banyak perubahan sejak mula diseragamkan dan ia menjadikan permainan lebih adil, pantas, selamat dan menarik tontonan.
Penyeragaman undang-undang pertama bermula pada 1863 oleh Persatuan Bola Sepak (FA) di England. Ia juga didorong keperluan untuk mempercepatkan rentak permainan, melindungi pemain dan menggunakan teknologi.
Asas & Awal Permainan
Pada peringkat awal beberapa peraturan utama diperkenalkan seperti larangan membawa bola menggunakan tangan, menjatuhkan lawan secara kasar dan penggunaan sepakan percuma bagi kesalahan tertentu antaranya:
1863: Menolak penggunaan tangan sepenuhnya untuk pemain kecuali penjaga gol.
1866: Peraturan offside dilonggarkan. Pemain dikira offside jika kurang daripada tiga pemain lawan di hadapannya.
1886: Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) ditubuhkan bagi menyeragamkan undang-undang untuk Scotland, Wales, Ireland dan England.
Peraturan offside, sepakan penalti, 90 minit permainan
Peraturan offside merupakan antara undang-undang yang paling banyak berubah dalam sejarah bola sepak.
Sepakan penalti diperkenalkan untuk kesalahan dalam kotak penalti pada 1891.
Pada 1897, masa permainan ditetapkan 90 minit dan bilangan pemain dihadkan 11 orang setiap pasukan.
Pada awalnya, mana-mana pemain lawan yang berada di depan bola dianggap offside. Ini menyebabkan permainan lebih tertumpu kepada menggelecek dan hantaran pendek.
Pemain hanya dianggap onside jika ada tiga pemain lawan di hadapannya. Perubahan ini membantu perkembangan permainan hantaran.
Pada 1925, IFAB mengubah syarat dua pemain pertahanan sahaja di depan penyerang. Perubahan ini meningkatkan jumlah gol dan menjadikan permainan lebih bersifat menyerang.
Pada 1990, pemain yang sejajar dengan pertahanan terakhir tidak lagi dianggap offside. Ia mempercepatkan tempo permainan dan menggalakkan serangan.
Back-pass rule
Peraturan melarang penjaga gol menangkap hantaran rakan sepasukan antara perubahan terbesar dalam sejarah bola sepak moden.
Ia mengubah cara pasukan bertahan, cara penjaga gol bermain dan menjadikan permainan lebih pantas serta menarik.
Sebelum ia diperkenalkan, pemain pertahanan sering menghantar bola kembali kepada penjaga gol untuk melengah-lengahkan masa.
Penjaga gol boleh menangkap bola, memegangnya lama, kemudian menjatuhkannya semula sebelum mengulang proses sama.
Taktik ini menjadi semakin ketara pada akhir 1980-an dan memuncak ketika Piala Dunia 1990 hingga dikritik kerana terlalu defensif dan membosankan.
Pada 1992, IFAB memperkenalkan “back-pass rule” secara rasmi dan ia mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 1992.
Perubahan ini bagi mengurangkan pembaziran masa, menjadikan permainan lebih menyerang dan memaksa penjaga gol lebih bermain menggunakan kaki.
IFAB juga menambah peraturan melarang penjaga gol menangkap bola daripada lontaran ke dalam (throw-in) rakan sepasukan secara terus pada 1997.
“Back-pass rule” dianggap antara perubahan paling penting kerana meningkatkan rentak permainan, mengurangkan taktik negatif, mengubah latihan penjaga gol dan mempercepat evolusi taktikal bola sepak.
Hari ini, penjaga gol seperti Manuel Neuer, Ederson dan Alisson Becker menjadi contoh bagaimana kemahiran kaki sama penting dengan kemampuan menyelamatkan bola.
Pertukaran pemain
Pada peringkat awal bola sepak moden, tiada peraturan membenarkan pertukaran pemain. Pasukan perlu menghabiskan perlawanan dengan kesebelasan yang sama walaupun berlaku kecederaan.
Ini menyebabkan ada pasukan bermain dengan kurang pemain jika berlaku kecederaan serius.
Pada 1958, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mula membenarkan pertukaran penjaga gol yang cedera dalam pertandingan tertentu. Selepas itu, pertukaran pemain lain turut dibenarkan tetapi hanya atas faktor kecederaan.
Liga di England antara pelopornya apabila membenarkan satu pertukaran pemain dalam liga domestik pada musim 1965/66. Pada awalnya ia khusus untuk kecederaan sebelum berkembang menjadi pertukaran taktikal biasa.
Menjelang 1970, FIFA membenarkan dua pertukaran pemain dalam perlawanan antarabangsa rasmi termasuk Piala Dunia. Peraturan ini membuka ruang kepada strategi taktikal baharu seperti penggunaan “super-sub”.

FIFA meningkatkan had pertukaran kepada tiga pemain pada 1995. Perubahan ini selari peningkatan tahap permainan, jadual perlawanan lebih padat dan perkembangan sains sukan.
Ketika pandemik Covid-19, FIFA memperkenalkan lima pertukaran pemain bagi mengurangkan keletihan akibat kepadatan jadual perlawanan. Peraturan ini pada mulanya bersifat sementara sebelum diterima secara kekal oleh banyak pertandingan utama dunia.
Liga utama yang menggunakan sistem lima pertukaran termasuklah Liga Perdana Inggeris, La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, pasukan hanya diberi tiga peluang menukar lima pemain supaya rentak perlawanan tidak terganggu.
Dalam beberapa kejohanan besar, satu lagi pertukaran tambahan dibenarkan ketika masa tambahan, khususnya peringkat kalah mati. Ia membantu pengurus mengurus stamina dan mengurangkan risiko kecederaan.
Video Bantuan Pengadil (VAR)
VAR ialah sistem bantuan pengadil menggunakan rakaman video untuk menyemak semula keputusan penting dalam perlawanan bola sepak. Ia diperkenalkan untuk mengurangkan kesilapan besar yang boleh menjejaskan keputusan perlawanan.
VAR dikawal oleh IFAB dan mula digunakan secara rasmi dalam pertandingan besar FIFA sekitar 2018.
Sistem ini teknologi moden yang membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat dalam situasi penting seperti gol, penalti dan kad merah.
Walaupun menggangu masa permain hingga mengakibatkan tambahan masa, VAR dianggap salah satu inovasi terbesar dalam sejarah bola sepak moden.
Penggunaan VAR hanya untuk merungkai kesilapan jelas antaranya menentukan keabsahan gol, keputusan penalti, kad merah terus dan kesilapan identiti pemain (salah menghukum pemain).
Proses penentuan VAR turut dipantau melalui rakaman video oleh sekumpulan pengadil di bilik kawalan yang menyemak setiap sudut kamera sebelum keputusan muktamad dibuat.
Jika ada keraguan, bilik kawalan akan menghubungi pengadil menerusi interkom dan pengadil utama boleh melihat ulang tayang di skrin tepi padang melalui proses On-field review.
Bagaimanapun, tidak semua keputusan disemak kecuali situasi kritikal bagi mengurangkan kesilapan besar perlawanan.
Meski VAR mencetuskan pelbagai perdebatan umum, kelebihan teknologi membantu membuat keputusan lebih adil dan tepat, mengurangkan kontroversi besar, membantu pengadil dalam situasi sukar dan menambah keyakinan terhadap keputusan penting.
Pengkritik pula menyifatkan VAR melambatkan permainan, keputusan masih subjektif, boleh mengganggu emosi pemain dan penyokong dan tidak semua insiden boleh diselesaikan 100 peratus dengan jelas.
Teknologi garisan gol
Teknologi garisan gol atau Goal-Line Technology (GLT) ialah sistem yang digunakan untuk menentukan sama ada bola telah melintasi garisan gol sepenuhnya atau tidak.

Ia diperkenalkan untuk menghapuskan keraguan jaringan kontroversi yang sering berlaku sebelum ini.
Selepas pelbagai kontroversi dalam Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, GLT diuji secara rasmi dan penggunaannya diluluskan pada 2012. Teknologi ini digunakan pertama kali dalam Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil.
GLT menggunakan dua sistem utama iaitu kamera berkelajuan tinggi (multi-camera system) dengan tujuh hingga 14 peranti dipasang di sekitar gawang, kamera menjejak kedudukan bola dari pelbagai sudut dan sistem komputer menentukan sama ada bola melepasi garisan.
Selain itu, sistem pengesan dalam bola yang menggunakan cip elektronik juga dapat memberikan data secara tepat.
Jika bola melepasi garisan sepenuhnya, sistem akan menghantar isyarat automatik kepada jam tangan pengadil dalam masa kurang satu saat.
Meski GLT memberikan keputusan tepat, sistem ini bukan bertujuan untuk menggantikan pengadil.
Teknologi Ofsaid Semi-Automated (SAOT)
SAOT ialah teknologi yang membantu pengadil dan VAR membuat keputusan offside dengan lebih pantas, tepat dan konsisten menggunakan gabungan kamera khas, sensor dalam bola dan kecerdasan buatan (AI).
Diperkenalkan oleh FIFA dan IFAB, ia mula digunakan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia 2022 di Qatar.
SAOT menjadikan bola sepak lebih adil, cepat dan moden, tetapi masih bergantung kepada pengesahan pengadil.
Sistem ini menggunakan tiga komponen utama antaranya pemasangan sekitar 12 kamera penjejak pemain di bumbung stadium yang berupaya menjejak sehingga 29 titik data badan setiap pemain serta mengesan pergerakan secara 3D.
Kedua, pengesan dalam bola (Inertial Measurement Unit) yang boleh menghantar data sehingga 500 kali sesaat dan menentukan saat tepat bola disentuh (kick point).
Seterusnya, sistem AI & VAR secara automatik yang mencadangkan keputusan offside. VAR hanya perlu mengesahkan, bukan melukis garisan secara manual dengan menghasilkan animasi 3D untuk menunjukkan posisi pemain.






