Tangani kebencian dengan bijaksana bukan kemarahan, kata Anwar

13 Jun 2026, 12:05 AM
Tangani kebencian dengan bijaksana bukan kemarahan, kata Anwar

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Pendekatan terbaik dalam menangani sentimen kebencian dan perkauman bukanlah melalui kemarahan, sebaliknya perlu ditangani dengan kesabaran, kebijaksanaan serta akhlak yang baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata meskipun Malaysia sering dijadikan contoh keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk, negara ini juga tidak terlepas daripada cabaran seperti sentimen perkauman, kebencian berasaskan agama dan bangsa, serta pelbagai tohmahan yang cuba memecah-belahkan masyarakat.

“Mengurus sebuah masyarakat majmuk bukan tugas yang mudah, apatah lagi dalam suasana yang sering berdepan pelbagai cabaran dan perbezaan pandangan.

“Namun, saya percaya bahawa sikap saling menghormati, kesederhanaan dan kefahaman antara masyarakat merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan serta kemajuan negara,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau meluangkan masa mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan dengan pimpinan agama serta cendekiawan dari pelbagai negara di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, petang tadi.

Mengambil contoh insiden pembakaran al-Quran sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan Malaysia memilih untuk memberikan respons yang positif berbanding reaksi emosi.

“Ketika berdepan insiden pembakaran al-Quran misalnya, Malaysia memilih untuk memberikan respons yang positif dengan memperluas usaha mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam pelbagai bahasa,” kata Perdana Menteri.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut menekankan peri pentingnya nilai, adab dan tradisi keilmuan yang diwariskan oleh para ulama dan agamawan, untuk terus diperkasakan bagi membimbing masyarakat menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Beliau berkata Malaysia juga sedia meneroka ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat sejagat, khususnya dalam memperluas pendidikan dan memperkukuh kefahaman Islam serta membangunkan masyarakat yang berteraskan ilmu dan nilai kemanusiaan.

“Mudah-mudahan ikhtiar seperti ini dapat terus menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman antara masyarakat dan menampilkan wajah Islam yang sebenar yakni agama yang membawa rahmah, keadilan dan ihsan kepada seluruh umat manusia,” kata Anwar.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, sentimen, Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa, kerjasama

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.