SHAH ALAM, 12 JUN: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengumumkan penutupan sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti trans hiking dan hiking compress di semua Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini bermula 1 Julai 2026.
Menurut notis yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi jabatan itu, keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan.
"Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menutup sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti trans hiking dan hiking compress di mana-mana Hutan Simpanan Kekal di Negeri Selangor atas faktor keselamatan," menurut notis itu.
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan berkenaan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Menurut notis sama, sebarang pelanggaran boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Arahan penutupan sementara itu dikeluarkan oleh Pengarah Perhutanan Negeri Selangor.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak memaklumkan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah ditutup serta-merta susulan insiden kehilangan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, sejak 23 Mei lalu.
Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata penutupan itu bertujuan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan selain membolehkan penilaian semula dilakukan terhadap laluan pendakian di kawasan berkenaan.
Mohd Basri berkata pihaknya turut akan mengkaji semula tatacara operasi piawai (SOP) pendakian gunung di negeri itu bagi memperkukuh aspek keselamatan pengunjung.







