PETALING JAYA, 12 JUN: Ibu bapa yang mempunyai anak disahkan neurodivergent disaran memberi perhatian khusus terhadap enam tahun pertama kehidupan anak kerana tempoh itu memainkan peranan penting dalam perkembangan mereka.
Ahli panel Karnival Neurodivergent 2026, Irin Putri Azmi berkata berdasarkan pengalamannya, fasa tersebut sangat intensif terutama selepas seseorang kanak-kanak disahkan berada dalam spektrum autisme.
Beliau yang juga ibu kepada anak autisme berkata pengalaman membesarkan anak berkeperluan khas memberinya pemahaman mendalam mengenai cabaran yang dihadapi keluarga dalam situasi sama.
Menurut Irin Putri, pelbagai bentuk intervensi dan terapi perlu diberikan seawal mungkin bagi membantu perkembangan anak yang disahkan autisme.
“Pelbagai bentuk intervensi dan terapi perlu diberikan seawal mungkin bagi membantu perkembangan anak-anak yang disahkan autisme,” katanya ketika ditemui Media Selangor semalam.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Neurodivergent 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Program itu dirasmikan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.
Karnival berkenaan menghimpunkan ibu bapa, pendidik, pakar serta komuniti neurodivergen bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan sokongan inklusif.
Mengulas lanjut, Irin Putri berkata enam tahun pertama kehidupan anak sangat penting kerana ketika itu ibu bapa perlu berusaha mendapatkan terapi yang diperlukan untuk membantu perkembangan mereka.
“Enam tahun pertama sangat penting kerana ketika itu ibu bapa perlu berusaha mendapatkan terapi yang diperlukan untuk anak,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan terapi memerlukan komitmen tinggi daripada ibu bapa termasuk masa, tenaga dan kewangan sekali gus menjadi cabaran besar kepada keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.
Beliau turut menjelaskan ibu bapa perlu menyesuaikan corak kehidupan dan pekerjaan masing-masing bagi memastikan keperluan anak dapat dipenuhi, selain menekankan kepentingan sokongan berterusan kepada ibu bapa demi kesejahteraan anak dan keluarga.





