CHUKAI, 12 JUN: Dua nelayan dikhuatiri hilang manakala seorang lagi berjaya diselamatkan, selepas bot yang mereka naiki dipercayai tenggelam di perairan Kemaman kira-kira 27.9 batu nautika dekat sini dalam kejadian kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata bot berkenaan dipercayai tenggelam dalam kejadian ribut pada 12.30 tengah malam, selepas mereka keluar menangkap ikan pada 11.30 pagi Selasa lalu.
Beliau berkata, dua mangsa dikhuatiri hilang iaitu tekong Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61, manakala nelayan yang selamat pula Mahadi Jusoh, 51.
“Mangsa yang selamat itu ditemukan nelayan lain di perairan Kemaman pada 10.30 pagi tadi (semalam), sebelum dibawa naik di Jeti Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Beliau berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa yang selamat jam 10 malam tadi.
Sementara itu Pengarah Maritim Zon Kemaman Abdul Halim Hamzah berkata bot Penggalang 16 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya usaha pencarian terpaksa dihentikan sementara malam tadi, berikutan keadaan laut bergelora serta cuaca buruk yang menyukarkan operasi dan disambung semula hari ini.







