Konflik Amerika-Iran berlarutan ke padang bola?

11 Jun 2026, 6:00 AM
Konflik Amerika-Iran berlarutan ke padang bola?
Konflik Amerika-Iran berlarutan ke padang bola?

Piala Dunia belum bermula, namun konflik di luar padang nyata lebih membahang sebelum sepak mula di Mexico City pada 11 Jun. Segalanya diburukkan oleh konflik di Asia Barat sejak Februari lalu yang mencetuskan kebimbangan terhadap kelancaran kejohanan berprestij tersebut.

Ketegangan diplomatik dan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kian memuncak pastinya bakal berterusan di pentas bola sepak, sukan yang menjadi simbol penyatuan ma-syarakat dunia sejak sekian lama.

Dengan pemeriksaan keselamatan ketat diharungi semua pasukan bertanding sejurus tiba di bumi Uncle Sam, suasana dikeruhkan dengan kisah beberapa petugas yang tidak diberikan visa masuk ke AS walaupun telah memohon lebih awal mengikut prosedur ditetapkan.

Sekalipun AS memberikan jaminan keselamatan buat skuad Iran sepanjang kejohanan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri memaklumkan mereka hanya dibenarkan memasuki AS sehari sebelum setiap daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Kelulusan visa pemain Iran yang kini menjalani latihan di Tijuana, Mexico hanya diberikan kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pertama mereka. Sebelum tercetusnya konflik, Team Melli dijadual menjalani latihan di Arizona.

Sebelum ini, pakar geopolitik sukan antarabangsa menyifatkan ketegangan dua negara itu bakal memberi tekanan besar kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam memastikan Piala Dunia kekal bebas daripada pengaruh politik.

Namun, delegasi Iran kekal berwaspada susulan kenyataan Presiden Donald Trump yang berpendapat pasukan berkenaan tidak sesuai tinggal lama di AS atas faktor keselamatan sekalipun mengalu-alukan penyertaan mereka dalam Piala Dunia.

‘Kuda hitam’ Asia

 Iran layak ke Piala Dunia sebanyak tujuh kali termasuk edisi 2026. Kali pertama mereka beraksi dalam Piala Dunia 1978 diikuti kejayaan 1998, 2006, 2014, 2018 dan 2022 sebelum mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 selepas mengikat Uzbekistan pada Mac 2025.

Walaupun belum pernah mara ke pusingan kalah mati, ‘kuda hitam’ Asia itu sering dianggap pasukan yang sukar ditewaskan kerana disiplin bertahan yang ampuh.

Pada temasya 2018 di Russia, Iran hampir mencipta sejarah apabila menewaskan Maghribi 1-0, sebelum tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol dan seri 1-1 dengan Portugal. Mereka menamatkan saingan dengan empat mata, jumlah terbaik dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Prestasi itu membuktikan Iran mampu bersaing dengan kuasa besar dunia. Malah, Portugal yang dibarisi Cristiano Ronaldo hampir tersingkir apabila Iran memperoleh penalti pada penghujung perlawanan.

Pada edisi 2022 di Qatar pula, Iran mencatat kemenangan penting 2-0 ke atas Wales hasil jaringan lewat permainan. Walaupun gagal mara ke pusingan kedua selepas tewas kepada AS, persembahan mereka tetap dianggap kompetitif dalam kumpulan yang sengit.

Secara keseluruhan, Iran sudah mencatat tiga kemenangan dalam sejarah Piala Dunia iaitu menentang AS (1998), Maghribi (2018) dan Wales (2022).

Persembahan konsisten Iran juga terserlah dalam kempen kelayakan Asia. Mereka sering menjadi antara pasukan terawal dari Asia yang layak ke Piala Dunia.

Cadangan Itali ganti Iran

Pertikaian penyertaan Iran ke Piala Dunia 2026 bermula apabila utusan khas presiden AS dilaporkan menggesa FIFA mempertimbangkan kemasukan Itali bagi menggantikan negara tersebut.

Paolo Zampolli melihat cadangan itu sebagai usaha diplomatik bagi memulihkan hubungan antara Donald Trump dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, selepas kedua-dua pemimpin itu berselisih faham susulan kecaman presiden AS itu terhadap Pope Leo XIV berkaitan isu peperangan di Iran.

“Saya mengesahkan telah mencadangkan kepada Trump dan Infantino agar Itali menggantikan Iran di Piala Dunia. Sebagai anak jati Itali, ia merupakan satu impian untuk melihat Azzurri beraksi dalam kejohanan yang dihoskan oleh AS,” katanya memetik laporan Financial Times.

Bagaimanapun, pegawai sukan Itali menegaskan langkah itu tidak wajar, manakala Menteri Sukannya Andrea Abodi menolak keras idea untuk kembali ke Piala Dunia menerusi ‘pintu belakang’.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali, Luciano Buonfiglio, turut senada dengan pendirian itu dan Menteri Ekonomi Itali, Giancarlo Giorgetti, pula menyifatkan cadangan berkenaan sebagai memalukan.

Itali, juara dunia empat kali, sudah tiga kali gagal ke Piala Dunia sejak 2014.

FIFA beri ‘lampu hijau’

Media antarabangsa melaporkan pre-siden FIFA menegaskan Iran tetap akan dibenarkan menyertai kejohanan itu walaupun hubungan politik kedua-dua negara tegang.

“Biar saya jelaskan dari awal Iran akan menyertai Piala Dunia FIFA 2026. Sudah tentu, Iran akan bermain di Amerika Syarikat,” kata Gianni Infantino memetik laporan Reuters pada 1 Mei.

FIFA juga menekankan bahawa sukan perlu menjadi medium perpaduan dan bukannya dipengaruhi konflik politik.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah keselamatan pemain, pegawai dan penyokong Iran. Ketegangan politik boleh menyebabkan kawalan keselamatan diperketat selain meningkatkan risiko protes atau ancaman terhadap pasukan terbabit.

Malah, terdapat laporan bahawa Iran pernah memohon agar lokasi latihan mereka dipindahkan dari Arizona, AS ke Tijuana, Mexico bagi mengelakkan masalah logistik, sekatan perjalanan dan visa. FIFA akhirnya meluluskan permohonan tersebut.

Selain itu, isu visa turut menjadi perhatian besar. AS sebelum ini terkenal dengan dasar sekatan perjalanan terhadap beberapa negara tertentu termasuk Iran.

Walaupun atlet antarabangsa lazimnya diberikan pengecualian khas, ketegangan diplomatik tetap boleh menyukarkan proses kemasukan delegasi atau penyokong Iran.

Terdapat laporan delegasi Iran menghadapi kesukaran mendapatkan visa untuk menghadiri acara rasmi berkaitan Piala Dunia 2026, sekali gus mencetuskan dakwaan wujud ‘double standard’ dalam pengurusan bola sepak antarabangsa.

Sementara itu, setiausaha agung FIFA memaklumkan pihaknya mengadakan pertemuan yang konstruktif dan positif dengan Persatuan Bola Sepak Iran (FFIRI), sekali gus menyatakan keyakinan terhadap penyertaan negara itu dalam Piala Dunia tahun ini.

Menurut Mattias Grafstrom, beliau bertemu Presiden FFIRI, Mehdi Taj pada 16 Mei dan menyatakan FIFA kini bekerjasama rapat dengan pihak Iran menjelang kejohanan tersebut.

Sementara itu, Taj berkata, pihaknya berpuas hati dengan pertemuan bersama FIFA dan menyatakan semua isu yang dibangkitkan telah diberi perhatian.

“Saya berasa gembira kerana mereka mendengar pandangan Iran, kesemua 10 perkara yang kami kemukakan, dan mereka turut menawarkan penyelesaian bagi setiap isu tersebut.

“Saya berharap, Insya-Allah, pasukan kebangsaan kami dapat menyertai Piala Dunia tanpa sebarang masalah dan mencapai keputusan yang baik,” katanya memetik laporan Agensi.

Iran dijadualkan beraksi dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan di AS, namun penyertaan pasukan itu dipersoalkan susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari lalu.

Ketidakpastian itu meningkat apabila Taj dilaporkan tidak dibenarkan memasuki Kanada bagi menghadiri Kongres FIFA di Vancouver baru-baru ini, berikutan kaitannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Ketiga-tiga negara penganjur itu mengklasifikasikan IRGC sebagai entiti pengganas dan menegaskan individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu tidak akan dibenarkan memasuki negara mereka.

Agensi berita Iran, ISNA melaporkan persekutuan bola sepak negara itu telah menggariskan 10 syarat bagi penyertaan Iran dalam kejohanan berkenaan.

Antara syarat berkenaan termasuk jaminan semua pemain dan pegawai teknikal akan menerima visa tanpa sebarang masalah serta tidak akan disoal siasat oleh pihak imigresen AS ketika dalam perjalanan.

Persekutuan itu juga dilaporkan meminta kemudahan visa untuk wartawan dan penyokong Iran yang menghadiri kejohanan itu, peningkatan langkah keselamatan AS di lapangan terbang, hotel, laluan pengangkutan dan stadium, serta sekatan yang hanya membenarkan bendera rasmi kebangsaan Iran dibawa masuk ke stadium.

Tuntutan lain yang dilaporkan termasuklah jaminan bahawa lagu kebangsaan Iran akan dimainkan tanpa gangguan semasa perlawanan dan soalan dalam sidang media dihadkan sepenuhnya kepada perkara berkaitan bola sepak.

Konflik geopolitik

Kontroversi ini juga memberi tekanan kepada FIFA yang selama ini menegaskan prinsip pemisahan antara politik dan sukan. Namun realitinya, konflik geopolitik sukar dipisahkan daripada acara global seperti Piala Dunia.

Situasi melibatkan Rusia sebelum ini membuktikan keputusan politik boleh memberi kesan besar terhadap penyertaan sesebuah negara dalam kejohanan antarabangsa.

Pada Februari 2022, sejurus Rusia menyerang Ukraine, pasukan kebangsaan dan kelab negara itu digantung daripada semua kejohanan anjuran FIFA dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) termasuk Piala Dunia 2026.

Selain aspek keselamatan, ketegangan AS-Iran juga boleh memberi kesan ekonomi dan imej kepada tuan rumah Piala Dunia 2026.

Kejohanan itu dijangka menarik antara lima hingga tujuh juta pelancong antarabangsa serta menjana berbilion dolar kepada negara penganjur melalui sektor

pelancongan, hospitaliti dan peruncitan.

Namun, jika berlaku boikot, protes atau ancaman keselamatan, ia boleh mengurangkan keyakinan penyokong antarabangsa untuk hadir. Dalam era media sosial, sebarang insiden kecil juga mampu memberi kesan besar terhadap reputasi kejohanan.

Antara kisah kontroversi menjelang Piala Dunia 2026. GRAFIK AZWA MALEK

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.