Remaja terlibat nahas ragut empat nyawa dibebaskan sementara

10 Jun 2026, 9:54 AM
Remaja terlibat nahas ragut empat nyawa dibebaskan sementara

SHAH ALAM, 10 JUN: Remaja lelaki yang dipercayai memandu secara melulu sehingga meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang minggu lalu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu pendakwaan.

Ketua Polis Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya susulan tempoh reman suspek berusia 19 tahun itu yang berakhir semalam.

“Pihak polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk memberi jaminan terhadap suspek sehingga siasatan lengkap dijalankan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Suspek sebelum ini direman sejak 2 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum tempoh reman disambung selama dua hari pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, selepas tempoh reman lanjutan berakhir, polis menahan semula suspek pada Khamis lalu dan mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian minggu lalu, suspek yang memandu sebuah Mercedes-Benz A250 dipercayai terlibat dalam perlumbaan atau pemanduan melulu bersama abangnya yang memandu BMW 530e sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan lima kenderaan.

Abang suspek yang berusia 22 tahun turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital untuk menerima rawatan.

Empat mangsa yang terkorban dalam nahas itu ialah Semek Mat Soh, 73; anaknya Nor Azlina Abd Latip, 33; menantunya Aiman Mohd Rashid, 36; serta anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.