Gambar disalah guna untuk kandungan provokatif, Penyelaras DUN Dengkil lapor polis

10 Jun 2026, 8:55 AM
Gambar disalah guna untuk kandungan provokatif, Penyelaras DUN Dengkil  lapor polis

SHAH ALAM, 10 JUN: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil membuat laporan polis susulan penyebaran kandungan di media sosial yang didakwa menggunakan gambarnya tanpa kebenaran serta mengandungi unsur provokasi sehingga menimbulkan persepsi negatif dan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Menurut Datuk Noorazli Said, kandungan yang tular itu turut membuat perbandingan antara Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil dan Penyelaras DUN Dengkil dengan tujuan menghasut serta mencetuskan sentimen tidak sihat dalam kalangan rakyat.

"Hantaran yang disebar tersebut jelas memperlihatkan unsur provokasi apabila sengaja membuat perbandingan antara ADN Dengkil dan Penyelaras DUN Dengkil dengan niat untuk menghasut serta mencetuskan sentimen tidak sihat dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab selain menghentikan penyebaran kandungan yang disifatkan boleh mencemarkan nama baik serta menjejaskan reputasi individu terlibat.

Pada masa sama, Noorazli memaklumkan pihaknya sedang meneliti tindakan lanjut terhadap pentadbir laman media sosial 'Sepang Viral' yang dipercayai menyiarkan kandungan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, beliau menuntut supaya kandungan tersebut diturunkan serta permohonan maaf secara terbuka dibuat dalam tempoh 24 jam daripada tarikh kenyataan itu dikeluarkan.

"Satu 'Letter of Demand' (LOD) akan dihantar sekiranya permohonan maaf tidak dibuat dan identiti admin juga harus didedahkan agar ada pertanggungjawaban terhadap semua kandungan page 'Sepang Viral'," tegasnya.

Noorazli turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, menghasut kebencian atau menggunakan gambar individu tanpa kebenaran bagi tujuan yang boleh menjejaskan maruah dan kredibiliti seseorang.

"Saya menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, menghasut kebencian atau menggunakan gambar seseorang tanpa kebenaran bagi tujuan yang boleh menjejaskan maruah dan kredibiliti individu tersebut," katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta menghormati undang-undang yang berkuat kuasa.

"Sebarang perbezaan pandangan hendaklah disampaikan secara berhemah dan berlandaskan fakta, bukannya melalui penyebaran kandungan yang bersifat provokatif dan memecahbelahkan masyarakat," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.