SHAH ALAM, 9 JUN: Persatuan Arborist Malaysia (PArM) menzahirkan penghargaan atas perkenan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz menerima pelantikan sebagai Penaung Diraja persatuan itu yang berkuat kuasa 20 April 2026.
Menurut PArM, pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan besar kepada persatuan serta mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh bidang arborikultur dan kelestarian alam sekitar di Malaysia.
Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini turut mempunyai minat mendalam terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan, selain merupakan arborist bertauliah selepas menamatkan Program Pensijilan Arborist (Siri Ke-24) anjuran PArM.
“PArM turut menjunjung tinggi aspirasi Yang Mulia Datin Paduka Seri yang menzahirkan harapan agar peranan ini dapat menyokong usaha persatuan dalam memperkukuhkan bidang arborikultur serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan pokok dan kelestarian alam sekitar.
“Semoga dengan perkenan dan naungan Diraja ini, Persatuan Arborist Malaysia akan terus berkembang sebagai peneraju profesional arborikultur tropika serta menjadi pemangkin kepada usaha pemeliharaan pokok dan landskap hijau negara demi manfaat generasi masa hadapan,” menurut hantaran itu di Facebook hari ini.

PArM berkata pengalaman dan komitmen beliau dalam pelbagai inisiatif kelestarian dilihat selari dengan objektif persatuan untuk memperkasa profesion arborist serta mempromosikan amalan pengurusan pokok yang mampan di negara ini.




