Janji untung 30 peratus dalam 24 jam, pegawai pemasaran kerugian RM343,190

9 Jun 2026, 1:56 AM
Janji untung 30 peratus dalam 24 jam, pegawai pemasaran kerugian RM343,190

KULAI, 9 JUN: Seorang pegawai pemasaran mendakwa mengalami kerugian RM343,190 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud, pada September tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata wanita berusia 46 tahun itu, tertarik untuk membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 hingga 30 peratus dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke akaun aplikasi “Shugoa AI Investment” milik mangsa.

“Setelah itu, mangsa membuat 13 transaksi pembayaran berjumlah RM343,190 ke 10 akaun bank tempatan bermula 14 Sept 2025 hingga 18 April lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata mangsa juga telah membuat semakan pada aplikasi terbabit dan mendapati keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM1.5 juta, namun mendapati akaunnya telah disekat apabila cuba membuat pengeluaran.

Beliau berkata mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.